Zero Hunger bantu 8,000 keluarga terjejas PKP sejak 18 Mac

0
54

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Lebih 8,000 keluarga telah menerima barangan keperluan asas yang disumbangkan penderma menerusi Projek Zero Hunger sejak ia dilancarkan 18 Mac lalu.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sejak platform SadaqahMarket dibuka bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, pihaknya menerima sejumlah 100,000 permohonan orang ramai untuk mendapatkan bantuan.

“Tempoh PKP amat sukar khususnya bagi keluarga yang terputus bekalan terutama kepada mereka yang bergaji harian.

“Walaupun mungkin menerima bantuan kewangan daripada kerajaan tetapi apabila terlalu lama PKP, mereka memang perlukan peranan kita sebagai anggota masyarakat dan menjadi tanggungjawab kita supaya tidak ada saudara kita berada dalam kelaparan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan berjumlah RM280,000 daripada Tabung Perjuangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Nadzim Johan.

Mohd. Fadzil turut mengajak masyarakat untuk terus bersedekah dalam mengambil berkat bulan Ramadan.

“Teruskan menyumbang dan sebarkan usaha ini dengan mengambil berkat bulan Ramadan. Selain amalan berpuasa, mengaji, solat sunat tarawih dan sebagainya.

“Amalan bersedekah juga amat dituntut untuk mendapat ganjaran berganda, dan pada masa sama kita jalankan tanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, setiap individu perlu memainkan tanggungjawab dalam kalangan komuniti masing-masing.

Dalam pada itu, pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung turut sama menyaksikan agihan sumbangan itu.

Program Zero Hunger menerusi platform SadaqahMarket.com. merupakan usaha dilakukan Malakat Mall dengan kerjasama Yayasan Brainy Bunch.

Sumbangan daripada orang ramai diagihkan Brainy Ranger Emergency Response Team (BERT), sebagai pasukan pelaksana.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Fadzil berkata, Team BERT hari ini meneruskan misi bantuan kepada golongan B40 di Pantai Timur yang akan diagihkan kepada 700 keluarga.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi membantu keluarga terjejas boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan menerusi platform www.sadaqahmarket.com. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here