Covid-19: 100 kes positif dalam PKPD Pusat Bandar Utara

0
130

CYBERJAYA – Sebanyak 180 kes positif Covid-19 dicatatkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti Pusat Bandar Utara di Selayang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun PKPD di beberapa lokaliti Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan Pusat Bandar Utara ditamatkan semalam namun parcel C, D, E1, E2, E3 dan F di pusat itu dilanjutkan PKPD sehingga 12 Mei ini.

 Beliau menambah, sehingga 12 tengah hari tadi, 100 kes adalah dikawasan PKPD dan 80 kes pula di luar kawasan PKPD.

“Jumlah keseluruhan ini termasuk peniaga dan bukan peniaga seperti ahli keluarga peniaga, pengunjung dan orang yang mempunyai kontak rapat dengan kluster ini. 

“Terdapat satu kes kematian dalam kluster ini, iaitu kes ke-5,252. Kluster Pasar Borong Kuala Lumpur ini didapati berkaitan dengan kluster Perhimpunan di Seri Petaling, di mana kes indeks (iaitu kes ke-3,039) bagi kluster ini adalah salah seorang peserta perhimpunan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau menambah, daripada 80 kes dikesan di luar kawasan PKPD Pasar Borong Kuala Lumpur, 29 kes telah dikesan melalui saringan yang telah dijalankan di empat buah pasar awam.

Jelas beliau, di Pasar Besar Seremban, Negeri Sembilan daripada 75 orang yang disaring tiga daripadanya didapati positif Covid-19 manakala satu kes masih menunggu keputusan.

“Seramai 182 orang disaring di Pasar Besar Bahau, Negeri Sembilan pula dengan dua daripadanya positif Covid-19, 17 kes negatif dan dua kes masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 545 orang diPasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya disaring dengan 23 daripadanya positif Covid-19 dan 522 kes negatif wabak itu.

“Seramai 142 orang disaring di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya dengan satu kes positif Covid-19 manakala 141 kes pula negatif,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau memberitahu, beberapa tindakan pencegahan diambil terhadap peniaga atau pemborong yang ingin berniaga atau masuk ke premis Pasar Borong Kuala Lumpur dikehendaki menjalankan ujian dan mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bantuan agensi berkaitan mengenal pasti beberapa pasar harian berkaitan atau mempunyai peniaga yang banyak berurusan dengan PBKL. 

“Pejabat Kesihatan Daerah telah dimaklumkan untuk menjalankan penilaian risiko jangkitan Covid-19 ke atas para peniaga yang telah ke pasar-pasar tersebut.

 “Menjalankan saringan gejala ke atas para peniaga dan mengambil ujian pengesanan (rRT-PCR) kepada mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi mereka yang tidak bergejala dan tiada sampel diambil, mereka perlu memantau kesihatan diri dengan menggunakan Home Assessment Tool dan segera memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya mempunyai gejala. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here