Dr. Noor Hisham terharu terima kad hari lahir dan hari raya

0
229
Dr. Noor Hisham Abdullah meluangkan masa membaca kad ucapan hari raya yang dikirim oleh pelajar sekolah.

CYBERJAYA – Cuti Hari Raya Aidilfitri memberi kesempatan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah meluangkan sedikit masa membaca kad ucapan hari lahir dan hari raya yang diterimanya baru-baru ini.

Menerusi ciapan akaun Twitter milik beliau, Dr. Noor Hisham berkata, kad-kad tersebut diterima daripada pelajar-pelajar sekolah yang telah diterimanya sebelum ini.

“Sungguhnya, saya terharu dan teruja dengan ketelusan serta kreativiti anak-anak cilik ini dalam memberi sokongan kepada warga barisan hadapan KKM (Kementerian Kesihatan),” ciap beliau. 

Dr. Noor Hisham menambah, beliau membalas kiriman kad itu dengan ucapan terima kasih dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Saya doakan para pelajar sekalian cemerlang dalam pelajaran. Nikmatilah keriangan bersama keluarga tersayang dan amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi,” ujarnya.

Dr. Noor Hisham Abdullah bersama kad ucapan hari raya dan hari lahir yang diterima beliau.

Perkongsian beliau yang dimuat naik tiga jam lalu mendapat lebih 3,000 ulang kicau dan lebih 1,000 tanda suka.

Para Pengikutnya meninggalkan komen dengan menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri selain menunjukkan sokongan bahawa mereka mengikut nasihat Ketua Pengarah Kesihatan itu kekal berada di rumah sempena perayaan ini.

Seorang pengikutnya dikenali @nidurakiys menyahut seruan Dr. Noor Hisham untuk kekal berada di rumah.

“Selamat hari raya Dr.! Kami semua duduk rumah tak keluar beraya pun. Don’t worry (jangan bimbang),” katanya.

Bagi seorang lagi pengikut @janet_janetleow, dia berharap Dr. Noor Hisham dapat berehat pada hari raya ini kerana telah bekerja keras selama lima bulan berikutan penularan Covid-19 di negara ini.

“Selamat berehat doktor. Kamu bekerja keras selama lima bulan. Selamat hari raya Datuk dan keluarga. Rakyat sayang kamu,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here