Imigresen tahan 113 PATI di Selayang Baru

0
232
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi semalam

CYBERJAYA – Sebanyak 113 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di penempatan warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Selayang Baru semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzainee Daud berkata, operasi yang bermula pukul 9 pagi itu turut disertai seramai 210 orang pegawai imigresen dan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Operasi ini meliputi seluruh zon dalam kawasan Selayang Baru yang dikenakan PKPD ketujuh.

“Kawasan ini menjadi tumpuan tempat tinggal warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong Selayang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzainee berkata, dalam operasi itu juga sebanyak 1,683 warga asing telah diperiksa.

Sebahagian warga asing yang diperiksa dokumen mereka

Beliau berkata, 113 orang PATI yang telah ditahan itu kemudiannya dibawa untuk proses dokumentasi di Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Jalan Duta.

“Majoriti warga asing di kawasan ini ialah etnik Rohingya yang memiliki kad UNHCR.

“Mereka yang ditahan ini terdiri daripada warganegara Indonesia 63 orang, Myanmar 22 orang, India 19 orang, Bangladesh enam orang, Pakistan dua orang dan Nepal seorang.

“Jumlah tahanan ini terdiri daripada 66 orang lelaki, 36 orang wanita dan 11 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Semua warga asing yang diperiksa dan PATI yang ditahan telah disahkan negatif Covid-19 oleh KKM,” katanya.

Sementara itu, katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Katanya. kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here