Isma tawar kerjasama bangunkan ekonomi Islam di Kedah

0
127
AMINUDDIN YAHAYA

CYBERJAYA – Pelantikan Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai Menteri Besar baharu Kedah diharap akan mentadbir serta memimpin dengan lebih baik dan telus serta memperkasakan lagi agenda Islam dan bangsa Melayu khususnya di negeri itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, pentadbiran baharu itu diharap jangan mengulangi kesilapan kerajaan yang lalu baik pada zaman Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) dan mula bekerja keras membangunkan Kedah dengan bersungguh-sungguh.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Yang Berhormat Muhammad Sanusi Md Nor serta kepemimpinan Pas atas pelantikan sebagai Menteri Besar yang baharu selepas berlaku perubahan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan PN.

“Walau bagaimanapun saya ingin mengingatkan bahawa keutamaan pentadbiran baharu kerajaan negeri Kedah haruslah diberikan kepada kebajikan rakyat bukan untuk menghapuskan parti lawan semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, rakyat mengharapkan menteri besar baharu itu akan mentadbir serta memimpin dengan lebih baik dan telus serta memperkasakan lagi agenda Islam dan bangsa Melayu khususnya di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Isma yang mempunyai cawangan dan capaian yang meluas dan kuat di Kedah akan sentiasa menjadi pemantau kepada perjalanan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa bersedia dan berbesar hati menawarkan bakti untuk sama-sama membangunkan Kedah terutamanya dalam konteks masyarakat Islam dan Melayu.

“Kita mengharapkan agar kerajaan negeri tidak mengabaikan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kebanyakkannya serba kekurangan tetapi tetap bekerja keras dan ikhlas berbakti di akar umbi masyarakat.
“Malah menjadikan kami sebagai rakan kerjasama strategik bagi membangunkan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, banyak bidang yang boleh diusahakan bersama terutamanya dalam membangunkan ekonomi umat Islam khususnya memperkasakan Kempen Beli Produk Muslim (BMF) di peringkat negeri secara rasmi.

“Isma mendoakan agar Kedah akan dapat ditadbir dengan cemerlang dan akhirnya memberi manfaat yang melimpah ruah kepada rakyat,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here