Kadar pematuhan solat Jumaat semalam 95 peratus

0
56
Solat Jumaat yang diadakan Masjid Negara semalam

CYBERJAYA – Kadar kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa solat Jumaat yang diadakan di masjid dan surau di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan semalam adalah sebanyak 95 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, bagi memenuhi tuntutan ibadah itu sebanyak 30 peratus masjid dan 4.7 peratus surau di Wilayah Persekutuan yang berada dalam zon hijau dibuka semalam.

“Insya-Allah dengan beberapa penambahbaikan lagi, saya yakin dengan konsistensi disiplin umat Islam di Wilayah Persekutuan, kita boleh mencapai 100 peratus.

“Garis panduan asas yang wajib dipatuhi adalah dengan melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan luar masjid serta menjaga jarak antara ahli jemaah adalah sejauh satu meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cara masuk dan keluar masjid juga perlu mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal.

Pada masa sama, katanya, jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid.

“Semua ahli Jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing- masing sebelum hadir ke masjid dan jemaah hendaklah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang.

“Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat samada di dalam atau di luar masjid. Selain itu perlu, mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran Jemaah,” ujarnya.

Beliau berkata, ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk perlu disanitasi sebelum dan selepas solat.

Katanya, penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.

“Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran dan pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here