Keputusan jaga negara hak kerajaan, bukan Amnesty

0
33626

PATI yang ditahan di PKPD Masjid India kelmarin

CYBERJAYA – Malaysia meminta semua pihak supaya menghormati kedaulatan dan undang-undang negara dengan tidak mempersoal tindakan diambil kerajaan dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Jabatan Imigresen menahan PATI di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)Masjid India kelmarin adalah berdasarkan undang-undang negara.

“Apa yang kita lakukan adalah berdasarkan undang-undang negara, Amnesty International perlu menghormati negara kita sebagai sebuah negara berdaulat dan kita mempunyai kuasa dari segi perundangan.

“Terima kasih Amnesty kerana memberikan pandangan tetapi keputusan untuk jaga negara adalah hak kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan Amnesty International selepas Malaysia mengambil tindakan menahan sebanyak 586 PATI di kawasan PKPD Masjid India.

Mengulas lanjut, katanya, sebelum kesemua PATI itu dihantar ke depoh tahahan imigresen, petugas Kementerian Kesihatan telah menjalankan ujian saringan kesihatan Covid-19 sebanyak tiga kali terhadap penduduk di kawasan itu.

Berikutan itu, katanya, tidak timbul lagi isu bahawa PATI tersebut akan menyebarkan virus Covid-19 kepada orang lain ketika dalam tahanan.

“Cuba bayangkan ke mana PATI ini akan pergi selepas PKPD ditamatkan, adakah hanya sebab pandangan Amnesty dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), siapa-siapa yang masuk ke dalam negara dibenarkan bergerak walaupun tanpa dokumen perjalanan.

“Sedangkan kita sudah mengambil tindakan dengan memperketatkan kawalan di sempadan, tetapi tiba-tiba dalam negara sendiri kita tidak ambil tindakan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here