Mila Jirin cari inisiatif jual kek, tak nak buang pekerja

0
327
Mila Jirin menunjukkan kek yang dihasilkan oleh Unit Pastri Bizmilla Katering. – Gambar Instagram Mila Jirin

CYBERJAYA – Berdepan cabaran ekonomi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 sudah tentunya memberi kesan kepada ekonomi khususnya usahawan.

Sepanjang tempoh PKP itu, semua sektor ekonomi terhenti berikutan semua rakyat diminta duduk di rumah dalam mengekang penularan wabak Covid-19 tersebut.

Apabila sektor ekonomi dibuka secara berperingkat ia memberi sedikit kelegaan kepada golongan peniaga untuk kembali beroperasi.

Namun tidak semua industri dibenarkan beroperasi kerana ia melibatkan perhimpunan ramai yang boleh mendatangkan risiko jangkitan wabak itu.

Bagi pengusaha syarikat Bizmilla Catering, Mila Jirin, syarikat yang diusahakan dengan suaminya turut terkesan dengan langkah PKP itu.

Berdepan dengan kos operasi lebih sejuta ringgit membuatkan Mila mencari alternatif lain dalam meneruskan perniagaannya.

Berikut merupakan catatan beliau yang dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya Sabtu lalu.

Para pekerja saya bersatu hati membantu saya dan syarikat dalam menempuh fasa PKP yang telah menjejaskan industri perkahwinan dan travel (pelancongan).

Sebenarnya waktu nak tulis hantaran (posting) ini pun, hati saya sebak. Beberapa hari lalu, saya adakan mesyuarat dengan pekerja saya di Bizmilla. 

Saya maklumkan tentang situasi sebenar syarikat, dan apa perancangan syarikat untuk menjana pendapatan bagi menampung kos operasi dan kos pengurusan (gaji pekerja).

Alhamdulillah, semua warga kerja di Bizmilla bersatu hati bergabung untuk memulakan beberapa aktiviti perniagaan baharu demi kelangsungan syarikat dan memastikan semua warga kerja mendapat gaji bersama-sama disebabkan kewangan syarikat terjejas teruk akibat tiada pendapatan hampir lebih dua bulan. 

Buat masa ini, pihak syarikat masih bertahan walaupun kos operasi dan kos pengurusan menelan belanja hampir setengah juta sebulan (ringgit). Saya tetap positif untuk berjuang bersama sama pekerja saya di Bizmilla #InsyaAllah.

Di Bizmilla kami memang ada Unit Pastri, unit ini menyediakan semua jenis manisan dan pastri untuk bufet majlis perkahwinan di Dewan Bizmilla.

Tim pastri dan beberapa warga kerja dibahagian pengurusan dengan penuh semangat berjuang bersama-sama syarikat dan mencetuskan idea untuk menghasilkan kek-kek yang super sedap untuk juadah Syawal ini dan juga untuk sebarang ulangtahun mahupun apa jua majlis sambutan dirumah. 

Boleh ikuti akaun Instagram @bizmilla_cakepastry untuk melihat kek-kek yang bakal dibuka tempahan dan bolehlah buat tempahan untuk Hari Raya Aidilfitri nanti Insya-Allah.

Saya maklumkan pada pekerja saya, situasi sekarang, saya tak harapkan keuntungan tetapi saya mohon pada Allah, dapatlah usaha usaha ini membantu serba sedikit, terutama kos pengurusan (gaji pekerja) yang hampir RM200,000 sebulan. 

Kerana saya faham, semua ada keluarga, saya tak nak pekerja-pekerja saya hilang punca pendapatan, kita buatlah apa sahaja yang termampu dan rezeki yang halal demi kelangsungan syarikat dan dapat mereka bersama sama mendapat pendapatan.

Saya mohon, pada rakan-rakan saya dalam Instagram ini, bantulah menyokong inisiatif pekerja-pekerja saya.

Follow Instagram @bizmilla_cakepastry Insya-Allah kami akan kemas kini akaun Instgram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here