Perdana Menteri rakam terima kasih atas ucapan hari lahir

0
69
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengucapkan selamat dan mendoakannya sempena hari lahir ke-73 beliau, semalam.

Perdana Menteri dalam satu catatan menerusi Facebook miliknya turut melahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas keizinan dan kesempatan yang diberikan selama ini.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada saudara-saudari yang telah mengucapkan selamat hari lahir dan mendoakan kesejahteraan saya. Tidak mungkin dapat saya jawab satu persatu. Sekali lagi terima kasih.

“Saya juga mendoakan agar saudara-saudari diberikan kesejahteraan serta menikmati kesenangan hidup di dunia dan di akhirat.

“Semoga negara yang kita cintai ini dan rakyatnya yang berbilang kaum akan sentiasa dapat hidup dalam harmoni, bersatu-padu dan sayang-menyayangi,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mendoakan semoga seluruh rakyat Malaysia diberikan kekuatan dan sentiasa dilindungi daripada wabak Covid-19.

“Semoga Allah SWT memakbulkan dan memperkenan segala doa kita semua agar dilindungi daripada wabak Covid-19 serta memberi kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kita semua untuk menghadapi dugaan mencabar ini.

“Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan perjuangan kita semua dalam mencari keredhaan-Nya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here