Rusuhan di Minneapolis, perintah berkurung dikuatkuasa

0
113

WASHINGTON – Datuk Bandar Minneapolis Jacob Frey semalam mengisytiharkan perintah berkurung waktu malam susulan rusuhan dicetuskan penunjuk perasaan yang dilaporkan menuntut bela atas kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd.

Agensi berita Xinhua melaporkan, perintah berkurung itu bermula 8 malam hingga 6 pagi waktu tempatan, berkuat kuasa Jumaat sehingga 8 malam Sabtu.

Mereka yang ingkar arahan itu boleh didenda sebanyak AS$1,000 atau penjara sehingga 90 hari, memetik CBS News.

Pada hari sama Datuk Bandar St. Paul, Melvin Carter turut menandatangani perintah darurat tempatan.

Semua anggota penguat kuasa undang-undang dan agensi berkaitan serta petugas media dikecualikan di bawah perintah itu.

Floyd, 46, meninggal dunia Isnin petang sejurus selepas Derek Chauvin, seorang pegawai polis kulit putih, menahannya dan menekan lututnya di leher mangsa walaupun berulang kali berkata “tolong saya tidak boleh bernafas”.

Chauvin kemudian ditahan pada awal Jumaat dan didakwa atas kesalahan membunuh.

Minneapolis bandar raya terbesar di Minnesota, Amerika Syarikat dilanda rusuhan selama tiga hari berturut-turut menyaksikan banyak kerosakan.

Di St. Paul lebih 170 premis perniagaan rosak. Gabenor Minnesota, Tim Walz pada Khamis turut mengisytiharkan darurat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here