Sepasang baju Melayu serendah RM49, Kurta RM39

0
1136

KUALA LUMPUR – Sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pusat gedung tekstil terkenal, Jakel menawarkan diskaun menarik kepada orang ramai dengan menawarkan harga sepasang baju Melayu serendah RM49.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel berkata, selain baju Melayu, pihaknya turut menawarkan harga menarik bagi baju kurta serendah RM39 dan sepasang baju kurung bagi ibu dan anak RM150.

Menurut beliau, promosi tersebut bermula 14 Mei ini sehingga malam Hari Raya Aidilfitri.

“Kita memahami kesulitan dihadapi oleh pelanggan selepas menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat untuk berbelanja untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.

“Tawaran itu hanya dilakukan di gedung-gedung Jakel di seluruh negara dan tidak dibuat menerusi jualan dalam talian,” katanya kepada Malakat Tribune ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Mohamed Feroz, beliau memahami ramai pelanggan tiada kerja semasa tempoh PKP lalu namun mengenakan pakaian baharu di semasa hari raya menjadi satu kenangan terindah buat seisi keluarga.

Beliau berkata, setiap tahun pihaknya akan menampilkan corak dan rekaan baharu kepada pelanggan yang ingin berbelanja membeli pakaian atau fabrik idaman mereka.

Tambah beliau, walaupun tempoh PKP dilaksanakan jualan produknya mendapat sambutan hangat.

“Sejak PKP dilaksanakan Mac lalu, kita melancarkan jualan dalam talian produk Jakel dan Alhamdulillah sambutan diterima amat menggalakkan.

“Setakat ini lebih 200,000 baju Melayu, Kurta, baju kurung dan tudung Ariani terjual menerusi pembelian dalam talian.

“Kita juga turut menggerakkan ‘Personal Shopper’ yang membeli produk Jakel dengan harga diskaun untuk dijual kepada orang ramai,” jelasnya.

Katanya, konsep ‘Personal Shopper’ yang diperkenalkan tahun ini nyata memberi pendapatan tambahan kepada golongan itu apabila menjual lebih 50,000 produk Jakel.

“Alhamdulillah ‘Personal Shopper’ yang terdiri daripada peniaga Melayu mendapat pendapatan tambahan menerusi konsep yang kita perkenalkan kali ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, orang ramai tidak perlu bimbang untuk berbelanja di gedung Jakel kerana pihaknya memberi penekanan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Jelas beliau, bagi gedung Jakel di ibu kota, pihaknya menetapkan seramai 300 pelanggan memasuki gedung berkeluasan 300,000 kaki persegi itu dan bilik percubaan pakaian ditutup selaras SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here