Sindrom penyakit Kawasaki dikesan pada kanak-kanak positif Covid-19

0
152
Sindrom Kawasaki. – Gambar media sosial

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif Covid-19.

Memetik agensi berita Bernama, dalam catatan akaun Facebook milik Ketua Pengarah Kesihatan itu semalam, beliau menyatakan keadaan tersebut adalah gejala radang saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata, laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

“Sangat mustahak untuk mencirikan sindrom klinikal ini dengan teliti bagi memahami sebab serta akibat dan untuk memberikan intervensi rawatan.

“Saya telah meminta pakar di seluruh dunia supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing sementara WHO akan kekal berwaspada dan lebih memahami akan sindrom ini pada kanak-kanak,” katanya dalam klip video pendek WHO yang turut dikongsi oleh Dr. Noor Hisham.

Dalam klip video yang sama, Ketua Teknikal Covid-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr. Maria Van Kerkhove berkata, ia merupakan satu keadaan yang sangat jarang berlaku dan WHO telah mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza pada kanak-kanak yang diuji positif Covid-19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes telah menggambarkan penyakit akut yang disertai oleh sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Ia penting untuk mencirikan sindrom berkenaan dan faktor risikonya bagi memahami sebab serta akibat, selain menerangkan intervensi rawatan. 

Masih belum jelas spektrum penuh penyakit itu dan sama ada faktor penyebaran di Eropah dan Amerika Utara mencerminkan corak sebenarnya atau tidak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here