UTM tidak abaikan kebajikan Maznah

0
116

CYBERJAYA – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengesahkan Maznah Ismail merupakan pelajar universiti itu yang kini mengikuti pengajian program ijazah kedoktoran (PhD) di Sekolah Kejuruteraan Awam.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM menerusi kenyataan berkata, pelajar itu telah mendapat biasiswa dana penyelidikan meliputi yuran dan sara hidup.

Tambah kenyataan itu, Maznah juga telah diberi peluang bekerja sambil belajar sebagai pembantu penyelidik pelajar (SLPP RA) sebaik tempoh biasiswa tamat dan dibenarkan menangguhkan pengajian selama dua semester atas sebab kesihatan.

“UTM telah menghubungi pelajar bagi mendapatkan maklumat lanjut agar bantuan tambahan dapat diberikan, berdasarkan kelayakan.

“UTM sangat prihatin kepada semua aspek kebajikan pelajar dan juga amat menghargai keprihatinan semua pihak terhadap pelajar,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, UTM juga ingin memohon jasa baik agar semua pihak tidak menyebarkan berita tidak sahih, tanpa mengetahui perkara sebenar bagi menjaga kesejahteraan bersama.

Semalam Malakat Tribune melaporkan kemiskinan seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai yang sedang mengikuti program Ijazah Kedoktoran (PhD) jurusan Kejuruteraan Awam mendapat perhatian warga maya. 

Kedaifan keluarga pelajar bernama Maznah Ismail itu mula tersingkap apabila dia dihantar pulang sebaik kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke kediaman masing-masing. 

Difahamkan Maznah telah dihantar pulang ke kediamannya di Kampung Malan, Dangi, Johol, Negeri Sembilan oleh kenderaan dari Ibu pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah. 

Maznah sebelum itu terkandas di kampus sejak penularan wabak pendamik Covid-19 dibenarkan balik ke kampung bersama pelajar lain selepas larangan PKP dilonggarkan oleh kerajaan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here