Wajib kuarantin 14 hari bila masuk Perlis

0
162

KANGAR – Semua individu yang memasuki Perlis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata langkah itu diambil bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri zon hijau.

“Arahan ini bukan hanya untuk individu yang datang dari zon merah sebaliknya untuk semua individu tidak kira sama ada mereka datang dari zon hijau seperti Pulau Pinang sekalipun.

“Ia tidak terkecuali kepada sesiapa pun sama ada datang dari luar negara (negara jiran) ataupun dari negeri lain wajib kuarantin seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan bagi membendung Covid-19,” katanya hari ini.

Azlan berkata, sehingga hari ini, sejumlah 116 orang masih dikuarantin di tiga pusat kuarantin di Perlis dengan 49 ditempatkan di Institut Latihan Perindustrian, 43 di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis dan bakinya di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kangar.

Dua minggu lalu, Perlis menjadi negeri pertama diletakkan sebagai zon hijau di Malaysia selepas tiada lagi kes aktif dilaporkan.

Selain Perlis, negeri lain yang diletakkan sebagai zon hijau ialah Kelantan, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here