Balu penghantar makanan yang maut dilanggar mahukan suspek dihukum mati

0
3956
Tertuduh yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan satu nyawa melayang hanya dituduh mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan

CYBERJAYA – Pemandu mabuk yang menyebabkan seorang penghantar makanan maut awal pagi sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati berbanding tuduhan asal sekarang.

Menurut peguam kepada balu mangsa yang terkorban semalam, Sazlizam Ariffin, anak guamnya, Zahlawati Zahlan, 47, mahukan suspek yang kini dituduh mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menerima hukuman mati.

“Pada pendapat saya sangat perlu (bawa tertuduh kepada hukuman 302) kerana ia bukan saja memandu dalam keadaan mabuk, tetapi selepas melanggar mangsa, dia cuba melarikan diri sehingga menyeret motosikal mangsa sejauh lebih kurang dua kilometer (km).

“Di situ ada elemen membunuh, jadi kita harap pihak polis dan pihak pendakwaan memandang serius dan mengkaji semula pertuduhan ke atas tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 44 APJ 1987,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, kes yang berlaku itu mempunyai persamaan dengan kes membabitkan pemandu mabuk memandu melawan arah di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Katanya, suspek kes tersebut kini dituduh di bawah Seksyen 302.

Sementara itu, Zahlawati mahukan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat semula kes itu berikutan jelas tertuduh sengaja memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar suaminya, Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44.

“Saya mahukan keadilan sewajarnya apatah lagi dalam rakaman video tertuduh dilihat membuat tanda isyarat tangan ‘thumbs up’ yang menunjukkan tertuduh sedar dan tahu apa dilakukannya.

“Wang boleh dicari, tetapi saya sudah kehilangan suami sebab itu saya mahukan keadilan sewajarnya bukan untuk saya tetapi untuk anak-anak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here