Bela semula nasib peniaga Melayu

0
346

SEBELUM penutupan syarikat akhbar tempat saya bekerja sebelum ini, penempatan tugas terakhir saya adalah di Meja Kota, iaitu bahagian yang membuat liputan masalah dan isu rakyat, khususnya warga kota di sekitar Kuala Lumpur.

Tahun terakhir saya di meja berkenaan merupakan tahun pertama pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

Entah macam mana, timbul satu isu yang jika diperhalusi nampak seperti tindakan terancang dan didalangi oleh pihak tertentu. Isu itu tidak lain tidak bukan adalah penutupan tapak-tapak pasar malam, bazar dan pasar minggu yang selama berpuluh tahun menjadi lubuk peniagaan orang Melayu.

Bermula dengan tapak bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan Tar), Uptown Danau Kota, Downtown The Mines dan banyak lagi.

Walaupun istilah sebenar yang digunakan pada ketika itu adalah ‘pemindahan’ dan bukannya penutupan, langkah tersebut telah menyebabkan puluhan ribu golongan peniaga dan penjaja terjejas.

Peralihan tempat berniaga ke lokasi yang kurang strategik dan berpotensi itu dilihat lebih menjurus kepada usaha untuk ‘memperlahankan’ penguasaan ekonomi orang Melayu, biarpun masih lagi di peringkat makro.

Tolak tepi seketika isu penjualan tapak perniagaan kepada pihak ketiga atau punca kesesakan lalu lintas yang sering dijadikan alasan untuk tujuan itu, pasar malam tidak dapat dinafikan adalah lubuk ekonomi orang Melayu.

Bahkan ia menjadi tapak paling sinonim dengan orang Melayu sebagai pemula dalam dunia perniagaan yang memberi seribu satu peluang membangunkan kapital.

Mungkin juga ia adalah jalan paling singkat bagi peniaga kita untuk bangun dalam perniagaan tanpa memerlukan modal yang besar. Ada yang bermula dengan hanya menjual air, kini sudah memiliki gedung-gedung perniagaan.

Cabaran itu bagaimanapun tidak semudah dengan laluan peniaga daripada kaum yang sudah lama menguasai ekonomi dan terkenal dengan sistem ‘payung-memayung’ mereka yang cukup kuat.

Kini selepas hampir setahun penutupan tapak-tapak bazar dan pasar malam utama di ibu kota, nasib peniaga dan penjaja Melayu yang tersingkir daripada kawasan perniagaan akibat peralihan kuasa politik itu masih tidak terbela.

Ada yang masih terus berjuang demi sesuap rezeki, ada yang menanggung hutang keliling pinggang malah ada yang terpaksa gulung tikar kerana apa lagi pilihan yang mereka ada.

Jika ruang berniaga sekangkang kera di tapak pasar malam itu pun memerlukan mereka bergolok-gadai, lupakan sahaja hasrat untuk beralih ke pusat beli-belah yang mengenakan sewa puluhan ribu ringgit sebulan.

Namun untuk mengatakan orang Melayu sudah putus asa dan harapan untuk mencari tapak berniaga di pasar malam, itu mungkin keterlaluan.

Ramai yang masih mengharapkan peluang untuk kembali ke tapak-tapak perniagaan yang berpotensi dan akur dengan peraturan yang ditetapkan.

Penulis harap selepas selesai isu Covid-19 ini, kerajaan dapat melihat dan menilai semula suara hati golongan peniaga dan penjaja ini kerana pasar malam adalah asas untuk orang Melayu berniaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here