Covid-19: Jumlah kes pulih terus meningkat

0
64

CYBERJAYA- Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara terus meningkat kepada 7,873 kes dengan kadar kesembuhan 92.5 peratus, hari ini.

Peningkatan itu susulan pertambahan 140 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, 10 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,515 kes keseluruhan dalam negara.

Beliau berkata, tiada kes import manakala terdapat 10 kes penularan dalam negara merangkumi tiga kes bukan warga negara dan tujuh warga negara.

“Satu kes jangkitan bukan warga negara ialah kontak rapat kes positif kes ke-8,455.

“Satu kes lagi di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson yang mana kes ini adalah Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

“Satu lagi kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS),” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai kes penularan dalam kalangan warga Malaysia, Dr. Noor Hisham berkata, empat kes ialah Kluster Warga Emas Kuala Selangor iaitu kontak rapat kes positif (kes ke-8,490), satu kes saringan pusat tahfiz, satu kes kontak rapat (kes ke-8,453) serta satu kes kontak rapat (ke-8,403 iaitu kes kematian ke-120).

Dalam pada itu, katanya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat pukul 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here