[VIDEO] Dari seni foto kepada seni pertukangan kayu

0
108
Hafiz Johari (kanan) bersama Noor Adzrene Mohd. Noor dan Abd. Razak Latif (tengah) di bengkel pertukangan kayu Kawood di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.


REZEKI tidak pernah salah alamat. Itulah perumpamaan paling tepat bagi sahabat tiga serangkai yang beralih mata pencarian dari kerjaya jurugambar kepada seni pertukangan kayu.

Selepas kehilangan kerja yang diceburi selama lebih 13 tahun pada penghujung tahun lalu, nasib bekas kakitangan akhbar Utusan Malaysia ini berubah 360 darjah.

Dalam keributan rakan-rakan lain mencari majikan baharu untuk bertaut, Hafiz Johari bersama Noor Adzrene Mohd. Noor dan Abdul Razak Latif ‘tercampak’ dalam bidang pertukangan.

Idea perniagaan yang bermula sekadar hobi itu dicetuskan Hafiz selepas menghasilkan rak pokok hiasan berbentuk ‘A’ untuk kegunaan isterinya selepas ia tular di media sosial.

“Semuanya bermula selepas saya memuat naik gambar rak letak bunga yang saya hasilkan untuk isteri.

“Selepas dikongsi oleh rakan-rakan Facebook, saya terima lebih 20 tempahan dan sedar ada potensi pada produk ini,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada tempahan pertama itu, Hafiz membuat keputusan untuk menjadikan minatnya itu sebagai mata pencarian baharu.

Lebih mengagumkan, dia tidak menunggu lama untuk memanfaatkan peluang yang datang dengan menyewa sebuah lot kedai yang dijadikan bengkel di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

“Selepas melihat sambutan yang baik, saya menghubungi Bob (Noor Adzrene) untuk bermula secara serius. Langkah pertama adalah dengan mencari tempat untuk bertapak.

“Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan satu lot kedai dan terus memulakan kerja pada hari yang sama,” ujarnya selaku Pengasas Kawood itu.

Kawood yang ditubuhkan bersama Noor Adzrene dan Razak kini memasarkan dua produk kayu pain iaitu rak Ara Planter dan rak Meca yang masing-masing dijual pada harga RM129 (harga promosi) dan RM49 seunit.

Bagi Noor Adzrene yang juga berkongsi minat dalam seni pertukangan kayu, peluang tersebut tidak boleh disia-siakan kerana cabaran mencari pekerjaan yang semakin mencabar terutama selepas penularan Covid-19.

“Saya sudah berkhidmat dengan Utusan Melayu selama lebih 13 tahun. Alhamdulillah rakan-rakan media dan bukan media banyak membantu mempromosi apa yang sedang kami lakukan sekarang,” kata Pengarah Operasi Kawood itu.

Dia yang sebelum ini berkecimpung dalam perniagaan gerai makanan berkata, fokus utama Kawood pada masa ini adalah untuk menghasilkan produk dekoratif rumah walaupun menerima banyak permintaan perabot tempahan sendiri (kustom).

“Buat masa ini kami masih tidak menerima tempahan perabot kustom kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada produk hiasan dalam dan luar rumah.

“Lagipun kami mahu dikenali sebagai ‘jenama’ barangan segmen itu memandangkan ada sambutan yang tinggi dalam kalangan penggemar pokok hiasan,” katanya.

Noor Adzrene yang mempunyai forte dalam bidang fotografi sukan dan studio berkata, impian Kawood pada masa akan datang adalah untuk memiliki sebuah kilang yang mampu meningkatkan pengeluaran produk dan meluaskan pasaran.

“Kami juga menerima sambutan baik dalam kalangan artis tanah air seperti Amy Search dan Erma Fatima. Atas kepercayaan ini kami akan terus hasilkan produk yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Razak selaku Pengarah Pemasaran berkata, Kawood yang kini mempunyai lima orang tenaga pekerja mampu menghasilkan kira-kira 30 unit rak setiap hari dan pembelian hanya diterima melalui tempahan.

“Sejak memulakan operasi pada penghujung Mei lalu, Kawood telah menerima kira-kira 300 tempahan. Cuma buat masa ini kami hanya tumpu pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Harapan kami adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan dari seluruh negara kerana sudah ada yang membuat tempahan dari pedalaman Sarawak,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk ini boleh menghubungi Kawood di talian 016-321 5421 atau kunjungi laman Facebook www.facebook.com/kawoodkualalumpur atau Instagram (Kawoodkl). -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here