Demi kelangsungan hidup pasca Covid-19

0
68

Apa Khabar Orang Kita…Kini boleh dikatakan dalam fasa akhir menentang Covid-19, pastinya pasca wabak berkenaan nanti ada ‘debarnya’ buat kita semua.

Debar bukan berkait dengan wabak itu semata-mata tetapi, lebih kepada faktor ekonomi yang makin meruncing mengikut keperluan sesebuah keluarga.

Namun, jika bijak merancang ia boleh diatasi selain bergantung kepada ‘benak idea’ seseorang itu bagi mencari alternatif sumber ekonomi.

Betul, ramai yang terkesan kerana ada yang gaji dipotong oleh majikan dan lebih parah ada yang hilang pekerjaan ekoran syarikat terkesan akibat Covid-19.

Toleh kanan, toleh kiri rezeki itu tidak akan jatuh ke riba tanpa sebarang usaha, dengan sedikit pengorbanan masa dan kudrat anda menemui jalannya.

Pintu rezeki itu sentiasa ada, sekarang pun kita dapat lihat berapa ramai usahawan yang muncul selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Mungkin terlalu lama di rumah idea itu timbul, ramai antara rakan-rakan penulis yang mula jadi peniaga. Bernas juga idea yang muncul, mungkin itu rezeki mereka.

Ada yang menjadi peniaga bunga, buka gerai burger, menjual pakaian kanak-kanak selain ada yang menceburkan diri dalam dunia pertukangan dan lari dari bidang asal.

Alhamdulillah itu rezeki ilahi, semoga apa yang ditakdirkan di depan hari akan memihak kepada kita semua dan memberi manfaat untuk menyara keluarga.

Tidak salah sesekali air mata jernih tumpah di sejadah ketika sujud, panjatkan doa kehadrat ilahi untuk memohon keberkatannya sepanjang masa.

Isnya-Allah semoga kita diberikan jalan terbaik untuk meneruskan kelangsungan…biasanya orang lihat kita berduit namun hakikatnya, kita saja yang mengerti.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here