Fadzilah Kamsah teruja lihat Malakat Mall

0
137
Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah bersama Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim semasa berkunjung ke Malakat Mall

RAUDHAH CITY – Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah (DFK) yang pertama kali datang ke Malakat Mall di sini melahirkan perasaan kagum dan teruja dengan konsep yang diketengahkan oleh pusat beli belah BMF itu.

Mohd. Fadzilah berkata, jika sebelum ini beliau hanya mendengar kisah mengenai Malakat Mall, namun selepas mengadakan lawatan ke pusat beli belah itu semangatnya untuk turut sama membantu semakin membuak.

“Roh dia (Malakat Mall) lain jadi semangat saya memuncak dan berasa bersyukur.

“Untuk masa hadapan, kita boleh bersama-sama untuk membantu untuk membangunkan konsep 100 Malakat Mall di seluruh negara,” katanya.

Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (tiga dari kanan) bersama Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim (tiga dari kiri) dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (dua kanan) bergambar di hadapan kedai DIY Malaya semasa berkunjung ke Malakat Mall.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Malakat Mall, Cyberjaya di sini dengan diiringi Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzilah berkata, antara bentuk kerjasama yang boleh dilakukan antara kedua-dua pihak ialah dengan mempromosikan lagi Malakat Mall dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia Berhad (KoPPIM) kepada orang ramai.

Selain itu, katanya, menerusi platform yang ada itu juga boleh digunakan untuk melatih ibu, bapa dan guru supaya menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak mereka.

“Kami memang ada modul macam mana nak bantu mak, ayah dan cikgu untuk jadi motivator dan sumber inspirasi pada anak-anak. Saya sudah tulis buku ini tapi untuk sampaikan, agak terhad.

“Tapi menerusi KoPPIM kita boleh bekerjasama untuk melatih mak, ayah dan cikgu menjadi motivator dan dapat melatih mereka cara bercakap, marah, tegur dan bimbing anak-anak masing-masing.

“Semua ini ada caranya dan sangat mudah iaitu kena balik kepada sunah nabi dan impaknya insya-Allah luar biasa,” katanya.

Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (kanan) bersama Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim semasa berkunjung ke Malakat Mall.

Sementara itu, Mohd. Fadzil berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan kerjasama itu dan berharap ia dapat disusun supaya mereka yang mengikuti modul tersebut mendapat sijil pengesahan.

“Sijil ini macam sijil kahwin, jadi sebelum anak mereka berkahwin dengan pilihan masing-masing mereka perlu ada sijil pengesahan ini.

“Ini kerana hendak buat anak tidak perlu belajar tetapi hendak didik anak perlu ilmu. Disebabkan ini merupakan formula DFK, kita akan jenamakannya sebagai sijil,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here