Hercules Medicare tawarkan ujian Covid-19 pada harga murah

0
172

SERDANG- Orang ramai mempunyai pilihan lebih murah untuk mendapatkan ujian saringan Covid-19 melalui jalinan kerjasama Hospital Pengajar Universiti Putera Malaysia (HPUPM) dengan Hercules Medicare Sdn. Bhd.

Pengerusi Hercules Medicare Sdn. Bhd., Prof. Datuk Seri Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, kerjasama yang memanfaatkan kegunaan makmal HPUPM itu membolehkan pihaknya menawarkan caj yang jauh lebih murah berbanding pakej swasta lain dengan harga bermula RM150.

Beliau berkata, tujuan utama kerjasama antara HPUPM dengan Hercules Medicare Sdn. Bhd adalah untuk membolehkan semua pihak terutama di sektor swasta (syarikat) membuat saringan Covid-19 dengan kos yang minima.

“Melalui kerjasama ini orang ramai dapat mengurangkan kos saringan termasuk majikan yang menguruskan ujian pekerja asing di syarikat masing-masing.

“Hercules Medicare menggunakan teknologi saringan dengan ketepatan hampir 100 peratus. Kita kena ingat bahawa virus ini mungkin bersama kita dalam tempoh yang lama, jadi kita kena buat ujian dengan kit yang betul.

“Sebelum ini, di makmal-makmal swasta harga atau caj yang dikenakan untuk saringan Covid-19 mencecah hingga RM700 kemudian turun ke RM500 dan RM250. Sekarang kita tawarkan harga bermula RM150,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara HPUPM dengan Hercules Medicare Sdn. Bhd. di sini hari ini.

HPUPM di wakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris manakala Hercules Medicare turut diwakili
Pengarah Urusannya, Datuk Thomas Chong Cheng Shia dan Ketua Pegawai Eksekutif Hercules Mediacare, Abd Razak Abd Mulok.

Melalui kerjasama berkenaan, Hercules Medicare Sdn. Bhd. akan menyediakan kit ujian manakala HPUPM akan menyediakan kemudahan ujian makmal.

Menurut Abu Hassan, pihaknya berbangga dapat berkolaborasi dengan Hospital Pengajar UPM yang mempunyai kemampuan untuk membuat kira-kira 2,000 ujian sehari.

Katanya, melalui kerjasama itu pihaknya akan menyediakan kit ujian, kapasiti peralatan makmal bernilai lebih RM400,000 selain petugas makmal seramai enam orang.

“Mana-mana individu atau syarikat yang ingin melakukan ujian Covid-19 boleh menghubungi Hercules Medicare Sdn. Bhd., kita lakukan dengan pantas dan keputusan ujian dapat diperolehi dalam masa 72 jam,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Aini dalam ucapannya berkata, bagi tempoh April hingga Jun, sebanyak 3,000 sampel ujian Covid-19 dihantar ke makmal HPUPM.

“Kita berbangga dapat menyumbang kepada masyarakat. Kerajaan juga, telah memilih Makmal Mikrobiologi kami sebagai salah satu makmal diagnostik sampel ujian Covid-19.

“Melalui kerjasama ini, saya berharap selepas ini lebih banyak syarikat-syarikat lain yang akan menjalinkan kerjasama dengan HPUPM,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here