Hina Jata Negara: Cukupkah dengan kemaafan yang dipohon?

0
127

ENTAH apa nak jadi. Sebelum ini Jalur Gemilang dihina dengan diterbalikkan dan dihitamkan warnanya. Kemudian timbul pula isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dua, tiga hari ini timbul pula isu penghinaan terhadap Jata Negara. Pelik, kenapa perkara sensitif seperti ini masih berlaku?

Adakah si pelaku tidak tahu perbuatan itu adalah salah atau memang sengaja ‘test power’ untuk melihat reaksi orang ramai dan kemudian mencipta seribu satu alasan sebelum ‘meminta maaf’ dengan riak muka seperti meminta penampar.

Tindakan seperti ini dengan apa juga alasan diberikan sememangnya tidak seharusnya dihalalkan. Tidak kira siapa pun si pelaku yang membuat onar.

Ketika ini akta yang boleh digunakan ke atas mereka yang menghina Jata Negara ialah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Menerusi akta ini, mereka yang didapati bersalah boleh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tetapi persoalannya adakah hukuman sebegini mencukupi? Jika hanya dikenakan denda RM1,000 atau kurang daripada RM2,000 mungkin si pelaku ini akan mampu tersenyum gembira meraikan ‘kemenangan’ mereka.

Namun, mujurlah pihak polis turut menyiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Hukuman maksimum dan tegas perlu diambil supaya menjadi pengajaran kepada mereka yang lain supaya tidak sesuka hati menghina lambang negara.

Untuk masa hadapan sudah tiba masanya negara mempunyai akta khusus berkaitan Jata Negara dan Jalur Gemilang supaya tiada pihak yang berani meremehkannya.

Jika lihat negara seperti Amerika Syarikat, India hatta negara jiran kita, Singapura, mereka sudah mempunyai akta khas berkaitan bendera kebangsaan mereka. Kita tunggu apa lagi?

Dengan insiden yang berlaku ini sudah tiba masanya kerajaan masa kini merangka satu akta khusus untuk melindungi maruah raja-raja, bendera Jalur Gemilang serta Jata Negara yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Berdasarkan penghinaan demi penghinaan yang berlaku sekarang, adalah tidak mustahil insiden seperti ini akan muncul semula. Hanya tunggu masa, bilakah ia akan menjelma.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here