Jumpa 5 Datuk Bandar, 10 kali lori kena ditarik

0
530
Che Nah (tengah) melayan pelanggan selepas penantiannya untuk mendapatkan lesen perniagaan sejak 35 tahun lalu menjadi kenyataan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar FARID JANUDDIN

CYBERJAYA – “Seingat saya selain banyak kali disaman, dekat 10 kali juga lori saya ditarik sepanjang 18 tahun berniaga di sini,” luah Che Nah mengenai pengalamannya sepanjang berniaga di Jalan Medan Setia Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Kisah Che Nah atau nama sebenarnya Minah Awang mula menjadi perhatian setelah aksi peniaga itu sujud syukur kerana penantiannya selama 35 tahun untuk mendapat lesen tercapai dirakam secara ‘live’ menerusi akaun Facebook milik Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Ketika ditanya mengenai pengalaman berniaga tanpa lesen, Che Nah yang mesra dengan panggilan mak ini memberitahu, telah beberapa kali berusaha mendapatkan lesen namun hampa.

“Mak dah pergi jumpa lima Datuk Bandar, tak ada yang bagi (lesen), ambil gambarlah apalah, tapi tidak berhasil.

“Tidak ada seorang pun yang kesian kat Mak ini walaupun sudah beritahu masalah Mak tak ada kerja lain, suami pun tak kerja. Tapi mereka tak bagi, dengan alasan lesen dibeku dan macam-macam alasan lain.

“Sebab itu rasa sedih dan ketakutan apabila datang pihak berkuasa mulalah kita kelam-kabut lari dan sebagainya dan memang macam itulah keadaannya selama ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Che Nah amat berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana mengakhiri penantiannya untuk mendapatkan lesen yang ditunggu-tunggu selama ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Tan Sir Annuar dan pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang banyak membantu saya, semoga anda berjaya dalam kerjaya dan akhirat.

“Mak harap, Tan Sri dan pegawai-pegawai DBKL ini beri kemudahan kepada orang Melayu kita untuk berniaga dan tidak kiralah bangsa lain juga.

“Kita semua mahu cari rezeki kerana Allah, kalau perkara yang sikit-sikit tak perlulah buat kecoh-kecoh. Bukan apa, itu semua untuk kesenangan rakyat, negara pun berkat kalau kita buat baik, itu yang penting sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here