Kerajaan pandang serius pihak hina Jata Negara

0
87
Buku Rebirth yang mencetuskan kontroversi kerana menggunakan visual seperti Jata Negara

CYBERJAYA – Mana-mana pihak yang melanggar penggunaan Jata Persekutuan boleh didakwa dan dikenakan hukuman mengikut Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 Seksyen 3(1).

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan, kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Negara oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Katanya, tindakan itu adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

“Seksyen 3 (1) Akta 414 yang menyatakan, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis Menteri mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

“Mengguna bagi maksud, atau memperagakan sebagai suatu iklan bagi, apa-apa perniagaan, perdagangan, pekerjaan atau profesion, atau menjual apa-apa fotograf, lukisan atau rupaan lain gambar Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Selain itu, menurutnya, larangan itu termasuk mengguna lambang ternyata atau tiruan.

“Mengguna atau terus mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata, atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten, atau dalam apa-apa cap dagangan atau reka bentuk.

“Atau membuat bagi maksud jualan atau menjual atau ada dalam miliknya untuk dijual, apa-apa lambang ternyata,” ujarnya.

Kelmarin tular mengenai sebuah buku yang menggunakan visual mirip Jata Negara dengan memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Tindakan itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang ramai malah menggesa supaya kerajaan mengambil tegas terhadap semua pihak terlibat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here