Malakat Mall di Masjid Tanah mampu rancakkan ekonomi

0
777
Datuk Mas Ermieyati Samsudin diberi penerangan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim ketika mengunjungi pusat beli belah itu

RAUDHAH CITY – Pembukaan pusat beli belah, Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka pada hujung tahun ini dijangka dapat merancakkan ekonomi setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Malakat Mall merupakan kompleks membeli-belah berkonsepkan Muslim yang pertama di Malaysia dan mengumpulkan produk usahawan Muslim.

“Saya dah kongsikan cerita gembira ini buat orang-orang Masjid Tanah di mana Malakat Mall akan di buka di bangunan Mara, Pekan Masjid Tanah penghujung tahun ini.

“Insya-Allah, semoga dapatlah memberi limpahan ekonomi kepada warga Masjid Tanah khususnya,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Malakat Mall di Cyberjaya di sini dengan diiringi Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut melahirkan perasaan kagum dengan produk berkualiti keluaran tempatan dan Muslim yang terdapat di Malakat Mall.

“Antara yang sempat saya lawat tadi Tahan Sports, Petak, Togomen Homme, Conteng dan DIY Malaya. Jangan terkejut kalau saya katakan produk-produk keluaran mereka sangat berkualiti dan setanding jenama antarabangsa.

“Kalau sebelum ni kita dihidangkan dengan jenama-jenama import, di DIY Malaya, tetapi di sini ada cat keluaran bumiputera yang diberi nama Bina Cat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, suasana di pusat beli belah itu juga sangat kondusif untuk membeli belah bersama keluarga.

“Tempat makan pun ada yang membawa konsep seperti ‘food court’ yang diberi nama Bunch-Oh. Katanya di sini juga pengunjung boleh dapatkan makanan kegemaran dan popular rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, beliau juga difahamkan bahawa Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pengarah Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) bercadang untuk memperluaskan rangkaian perniagaan dalam memasarkan produk Muslim ke Indonesia menerusi Malakat Mall.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here