Naik taraf komputer, apa yang anda perlu tahu?

0
281

ANTARA industri yang paling rancak berkembang sepanjang penularan Covid-19 adalah sektor teknologi maklumat yang menyaksikan permintaan kepada peralatan komputer dan gajet telekomunikasi meningkat berkali ganda.

Ada yang memerlukannya untuk kepuasan atau hiburan semata-mata dan ada juga untuk memenuhi keperluan harian dan pekerjaan.

Namun dalam ketidaktentuan ekonomi sekarang, perbelanjaan untuk tujuan itu seeloknya diperincikan supaya tidak berbelanja secara berlebihan atau lebih malang lagi diperdaya jurujual.

Lebih baik lagi sekiranya anda mengambil tahu beberapa aspek teknikal untuk ‘menaik taraf’ set komputer peribadi (PC) yang sedia ada.

Kali ini mari kita lihat beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum melakukan upgred pada PC anda.

1-CPU

Tidak kira Intel atau AMD, CPU atau Central Processing Unit (juga disebut prosesor) memainkan peranan paling utama dalam binaan sesebuah PC.
CPU umpama otak yang menguruskan segala data, maklumat dan mengatur segala arahan yang diprogram supaya berfungsi dengan baik dan teratur.
Kuasa dan kapasiti bagi sesebuah CPU amat mempengaruhi prestasi sesebuah komputer.
Bermula dengan kelajuan yang diukur dengan single core, teknologi komputer kini sudah melalui fasa dual, quad, enam dan sekarang melebihi 16 core.
Bagaimanapun keperluan untuk menaik taraf CPU sebenarnya amat bergantung kepada jenis kegunaan, selagi ia masih tidak ketinggalan terlalu jauh. Untuk kegunaan yang tidak terlalu ‘berat’ seperti penyuntingan video dan permainan video, set komputer di rumah anda mungkin masih tidak memerlukan penukaran processor.

2- RAM

Menambah kapasiti RAM (Random Access Memory) merupakan salah satu proses menaik taraf yang paling popular dilakukan untuk memiliki komputer yang lebih laju.
Sekiranya komputer anda dilengkapi dengan hanya satu slot RAM, tambahan satu atau tiga keping RAM lagi pasti memberi lebih kuasa kepada Sistem Operasi anda.
Antara fungsi utama RAM adalah menyimpan memori sementara, meningkatkan keupayaan multitasking dan mengoptimumkan kelancaran operasi sesebuah perisian. Sesebuah komputer menggunakan RAM untuk memuatkan data kerana ia lebih cepat daripada memproses data yang sama dari cakera keras (hard drive).

3-Hard drive

Komputer yang agak lama biasanya dilengkapi dengan penyimpanan data atau hard drive (HDD) yang berkelajuan sesuai dengan zamannya. Penukaran alat ini kepada teknologi Solid State Drive (SSD) pastinya adalah satu pelaburan yang terbaik dilakukan.
Berbeza dengan HDD, teknologi SSD tidak lagi bergantung kepada bacaan berdasarkan pusingan cakera kerana ia dibangunkan dengan teknologi Flash Memory (seperti pendrive) yang berupaya meningkatkan berpuluh kali ganda kelajuan.
Menukar alat penyimpanan data yang disebut hard disk ini kepada jenis SSD menjanjikan kepantasan yang pasti memuaskan hati pemilik komputer. Anda tidak akan menyesal memilikinya.

4-Kad grafik

Menaik taraf kad grafik pada slot PCI komputer adalah antara pilihan utama bagi pengguna yang mementingkan keupayaan grafik lebih tinggi.
Bagaimanapun, bagi yang tidak menggunakan komputer untuk reka bentuk 3D, suntingan video atau bermain game, tiada keutamaan untuk menggantikan alat ini kerana kebanyakan komputer pada era ini sudah dilengkapi dengan kad grafik integrated yang terbina dalam motherboard.
Untuk bermain game, keperluan atau pembelian sesebuah kad grafik perlu mengambil kira aspek kesepadanan dengan komponen seperti motherboard, CPU, RAM dan power supply (PSU).

5- Motherboard

Secara umumnya, sesebuah motherboard dapat memenuhi spesifikasi komponen komputer yang ‘sezaman’ dengannya dan keperluan menukarnya agak kurang penting.
Bagaimanapun bagi yang memilih untuk menaik taraf beberapa komponen penting yang disebut di atas, penukaran motherboard kepada yang lebih terkini adalah langkah yang sebaiknya. Pemilihan motherboard yang terkini juga dapat memberi kelebihan ‘kalis upgred’ untuk tempoh beberapa tahun kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here