Pelajar Malaysia boleh keluar negara tanpa mohon kebenaran awal

0
63
Newly appointed Immigration Department director general Datuk Khairul Dzaimee Daud speaking to media after visit the KLIA in Subang. MOHD SAHAR MISNI/The Star

CYBERJAYA – Pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pengajian di luar negara termasuk yang baru menerima tawaran atau ingin mengambil peperiksaan dibenarkan keluar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka adalah antara kategori rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara, tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada pihaknya mulai 24 Jun lalu.

“Mereka perlu menunjukkan pas pelajar, visa, pas jangka panjang, surat tawaran, surat arahan mengambil peperiksaan serta dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan kepada pegawai Imigresen di pintu masuk,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, kebenaran sama turut diberikan kepada warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ingin keluar negara bagi yang bermastautin dengan taraf Penduduk Tetap atau memiliki Pas Jangka Panjang atau bekerja di luar negara.

“Dokumen pembuktian seperti Permit Kerja atau dokumen sokongan yang berkaitan hendaklah dikemukakan semasa berurusan di kaunter Imigresen, di pintu keluar negara.

“Bagi warganegara Malaysia yang mempunyai keperluan ke luar negara bagi tujuan seperti menghadiri mesyuarat, seminar, pameran serta urusan kecemasan dan perniagaan, mereka masih perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk kelulusan,” katanya.

Selain itu katanya, pemohon perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan lain-lain dokumen sokongan melalui e-mel ke kpi@imi.gov.my.

Dalam pada itu katanya, kategori warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran daripada Jabatan Imigresen ialah.

i) Pemastautin Tetap (PR) Malaysia
ii) Diplomat
iii) Suami / Isteri / Anak kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang (Suami/Isteri/Anak)
iv) Pas Penggajian (Kategori I)
v) Pas Residen – Talent (RPT)
vi) Pas Tanggungan kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen – Talent
vii) Pembantu Rumah Asing kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen.

Khairul Dzaimee berkata, kebenaran itu diberikan tertakluk kepada status pas yang masih sah tempoh.

“Warga asing selain daripada kategori yang dinyatakan perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan lain-lain dokumen sokongan melalui emel ke kpi@imi.gov.my,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here