Peniaga didakwa hina Sultan Kelantan, bagi alasan Facebook digodam

0
90

Peniaga didakwa hina Sultan Kelantan, bagi alasan Facebook digodam

JOHOR BAHRU- Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 14 Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Md. Haniff Md. Yunos, 40, didakwa melakukan perbuatan itu lebih kurang pukul 1.13 petang melalui aplikasi Facebook ‘Haniff Md Haniff Yunos’ di sebuah rumah Taman Seri Austin Hills, Johor Bahru.

Menurut laporan Berita Harian, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim V Mabel Sheela selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Md. Haniff didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan Kelantan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Profil Facebook itu telah dibaca di Jalan Seri Austin Hills 3/10, Taman Seri Austin Hills, di sini, kira-kira 2.20 petang, tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh mencadangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira kegagalan tertuduh hadir pada minggu lalu.

Md. Haniff dalam rayuannya memberitahu kegagalannya hadir ke Mahkamah pada minggu lalu kerana mengambil ubat berkaitan penyakit bipolar yang dihidapinya selain tidak cukup wang jaminan.

Mabel Sheela kemudian menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan tertuduh menanggung isteri yang tidak bekerja dan lima anak berusia antara tiga dan 10 tahun.

Mabel Sheela turut menasihati tertuduh supaya menukar kata laluan Facebook berikutan penyataan tertuduh akaun Facebook miliknya digodam.

Tertuduh diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sementara 29 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here