Penjana: Rebat cukai pendapatan untuk PKS baharu

0
127

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan rebat cukai pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap tahun untuk tempoh tiga tahun taksiran pertama bagi menggalakkan penubuhan entiti baharu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri berkata, rebat cukai pendapatan itu diberikan kepada syarikat baharu yang ditubuhkan dan beroperasi antara 1 Julai dan 31 Disember 2021.

“Bagi menggalakkan PKS meningkatkan daya saing dalam menjalankan perniagaan melalui skim pencantuman dan pemerolehan, kerajaan bersetuju memberikan pengecualian duti setem ke atas surat cara berkaitan percantuman atau pemerolehan bagi transaksi yang disempurnakan antara 1 Julai hingga 30 Jun 2021,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan aktiviti perniagaan dan menyebabkan masalah aliran tunai, kerajaan akan memberikan insentif cukai dalam pelbagai bentuk.

Beliau berkata, ia termasuklah potongan cukai berkait dengan perbelanjaan untuk operasi dalam kebiasaan baharu seperti pembelian pakaian pelindung diri (PPE)dan kos ujian saringan.

“Selain itu, Kerajaan juga akan memberikan remisi penalti untuk bayaran lewat cukai dan juga melanjutkan tempoh perbelanjaan pengubahsuaian dan pembaharuan premis.

“Tambahan lagi, Elaun Modal Dipercepatkan dan potongan cukai khas sebanyak 30 peratus bagi pengurangan sewa premis akan dilanjutkan,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, geran padanan berjumlah Rm10 juta juga akan disediakan melalui Malaysian Global Innovation and Creativity Center (MaGIC) kepada perusahaan sosial yang berjaya mengumpul sumbangan untuk melaksanakan projek sosial bagi menangani isu yang dihadapi oleh komuniti sasar dengan menggunakan kaedah inovatif.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here