Penunggang motosikal cedera di kepala angkara pemandu mabuk lagi

0
205
Gambar di media sosial

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

KANGAR – Seorang penunggang motosikal cedera di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Kangar, Perlis malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt. Wari Kiew berkata kejadian berlaku pada pukul 10.10 malam dan mangsa dikenali sebagai Bishamhadi Mohamad Hasbi, 40 tahun
mengalami kecederaan di bahagian kepala termasuk retak tempurung kepala.

Menurutnya, mangsa dikatakan sedang menunggang motosikal untuk pulang dari kedai runcit sebelum suspek berusia 63 tahun yang memandu kereta Iswara terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa dari belakang.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 10 minit selepas kejadian berlaku.

“Suspek dari Kangar yang memandu dalam keadaan mabuk dikatakan ingin pulang ke rumahnya di Taman Bunga Padi.

“Bagaimanapun setibanya di hadapan pasar raya NFS AMG Trading, kereta suspek hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sehingga merempuh mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal dan turut merempuh sebuah lori di parkir di bahu jalan,” katanya.

Wari berkata, mangsa dan suspek dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun suspek melarikan diri dari hospital sebelum dia berjaya ditahan semula kira-kira satu jam selepas itu.

“Hasil ujian alkohol terhadap suspek mendapati dia memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan di dalam badan.

“Dia kini berada dalam tahanan polis dan akan dibawa reman pada pagi ini untuk siasatan lanjut, manakala mangsa kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here