PRK Chini: Hari penamaan calon Sabtu ini, perarakan calon dilarang

0
54
Datuk Azhar Azizan Harun

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ditetapkan pada Sabtu ini.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, pusat penamaan calon ditetapkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang.

“Pada hari tersebut, kertas penamaan calon boleh dikemukakan antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK Chini agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit secara atas talian lebih awal.

“Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azhar turut berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

“Walaubagaimanapun penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon,” katanya.

Pada masa sama, katanya, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here