Reaksinya sedikit berbeza pada hari-hari terakhir

0
59

ALOR GAJAH – Allahyarhamah Norhayati Abdollah yang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada November tahun lalu sentiasa menjadikan pendidikan sebagai agenda utama anak-anak dan juga pelajarnya.

Suami Norhayati, Nordin Othman berkata, pada hari-hari terakhir Norhayati, beliau meninggalkan pesan agar utamakan pendidikan anak-anak yang berumur 22, 18 dan 11 tahun bagi menjaga masa depan mereka.

Beliau berkata, Norhayati berkhidmat sebagai guru lebih 20 tahun dan sekolah terakhir ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Gajah 1 di Melaka dan beliau sangat aktif berpersatuan di sekolah termasuk dalam aktiviti sukan.

“Norhayati meninggal dunia akibat kanser pada November tahun lalu. Pada hari-hari terakhir,beliau koma selama empat hari sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka.

“Sebelum ini, saya dan anak-anak pun tidak tahu beliau menghidap kanser. Kami rasa kehilangan amat sangat, sebelum meninggal reaksinya sedikit berbeza dan meninggalkan pesan kepada saya.

“Beliau ingatkan agar saya terus utamakan pendidikan anak-anak, pesanan itu akan saya tanam dalam diri untuk lihat semua anak-anak berjaya mengikut kehendak Allahyarhamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan Khairat Kematian daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM8,000.

Majlis penyerahan Khairat Kematian itu disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Melaka, Dr. Mohd. Azam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Sementara itu, Nordin turut memaklumkan bahawa beliau masih bersedih dengan kehilangan anak ketiganya yang menghidap kanser darah pada 2008.

Dalam pada itu Dr. Mohd. Azam ketika ditemui mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Norhayati selain mengucapkan terima kasih atas keprihatinan YGMB.

“Saya ingin mengajak semua warga guru di Melaka dan Malaysia amnya untuk menyertai YGMB. Jom ramai-ramai, yayasan ini memberi menfaat secara menyeluruh kepada ahlinya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here