Taman tema boleh beroperasi 1 Julai ini, rekod suhu hanya sekali di pusat beli belah

0
35

CYBERJAYA- Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi, selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat beli-belah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Julai ini, 54 buah taman tema termasuk taman tema air akan mula beroperasi melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan, saringan suhu badan pelanggan pusat beli-belah hanya perlu dilakukan sekali sahaja iaitu di pintu masuk utama dan bukan di setiap kedai dalam pusat beli belah.

“Bagaimanapun, pengusaha semua taman tema dan pusat beli-belah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi pada setiap masa.

“Bagi taman tema, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema. Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pengusaha taman tema air perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

Beliau berkata, garis panduan serta SOP boleh diperoleh dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk maklumat lanjut.

“Kedai-kedai di pusat beli belah dan hotel, walaupun tidak lagi perlu menyaring suhu badan pelanggan namun masih perlu merekodkan kehadiran seperti nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Ini bagi membolehkan pengesanan kontak dilakukan, sekiranya terdapat insiden jangkitan Covid-19.

“Ini kerana kemungkinan terdapat pelanggan yang pergi ke 10 buah kedai, jadi bagi memastikan pengesanan individu sekiranya dijangkiti Covid-19, Kementerian Kesihatan boleh mendapatkan maklumat dan sebab itu kita masih mewajibkan rekod kehadiran,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here