[VIDEO] 5,000 murid Brainy Bunch mulakan sesi prasekolah di seluruh negara

0
64

RAUDHAH CITY – Hampir 5,000 murid tadika montessori Islam Brainy Bunch memulakan sesi persekolahan serentak dengan pembukaan prasekolah di seluruh negara hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Efizah Mohtar Rasali berkata, operasi tadika milik kumpulan Brainy Bunch itu melibatkan 103 cawangan di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Perlis.

Katanya, jumlah itu merupakan 50 peratus daripada bilangan keseluruhan murid yang mendaftar sebelum penularan Covid-19.

“Permulaan sesi prasekolah Brainy Bunch bermula hari ini dengan separuh daripada bilangan sebelum ini.

“Walaupun menerima permintaan kemasukan baharu, kami terpaksa menolak untuk menilai keberkesanan langkah-langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pihak sekolah,” katanya kepada Malakt Tribune hari ini.

Ibu bapa memantau anak mereka pada hari pertama persekolah tadika di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN, 1 JULAI 2020

Kanak-kanak tadika menghadiri hari pertama persekolahan di Brainy Bunch, Cyberjaya. foto FARID JANUDIN, 1 JULAI 2020

Efizah berkata, aspek pematuhan SOP telah dilaksanakan secara menyeluruh terutama pada dua minggu terakhir sebelum perbukaan tadika.

Beliau memaklumkan, pihak pengurusan sekolah juga menerima kunjungan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pemantauan aspek pematuhan itu.

“Sebahagian daripada sekolah kami di seluruh negara sudah diperiksa manakala sebahagian lagi masih dalam proses.

“Alhamdulillah maklum balas yang kami terima amat baik berhubung pematuhan. Bagi perkara yang perlu diperbetulkan kami akan ambil langkah yang sewajarnya,” jelas beliau.

Beliau berkata, amalan kebersihan seperti nyah kuman dan sanitasi bukan perkara baharu di sekolah Brainy Bunch kerana telah menjadi amalan harian.

“Fokus utama pada minggu awal persekolahan akan ditumpukan kepada amalan dan norma-norma baharu untuk membiasakan kanak-kanak dengan peraturan tersebut.

“Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, kami turut memperketatkan lagi SOP seperti penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan sehingga tiga kali sehari dan pengesahan kesihatan oleh ibu bapa,” ujarnya.

Menurutnya, waktu operasi tadika montessori Brainy Bunch dibuka seperti sebelumnya iaitu dari 7 pagi sehingga 7 malam.

“Kami memahami keperluan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa untuk meninggalkan anak-anak mereka dan sentiasa mengambil berat kerisauan mereka pada risiko di bilik kelas.

“Ada yang menghantar anak secara penuh dan ada juga separuh hari sehingga 3 petang,” jelas beliau.

Sementara itu Pengurus Tadika Brainy Bunch Cawangan Raudhah City, Suhaini Ota berkata, jumlah pelajar dalam setiap kelas kini dikurangkan kepada lapan orang berbanding 15 orang sebelum ini.

Guru tadika, Fatirah Roslan pula berkata, antara SOP yang dititik beratkan adalah penggiliran waktu makan, interaksi murid-murid dan kebersihan alat bantu mengajar.

Bapa murid, Mohd Hafizin Baharuddin berkata, dia berpuas hati dengan pematuhan yang dilaksanakan oleh Brainy Bunch selepas melawat sendiri bilik kelas.

“Maklumat mengenai pelaksanaan peraturan baru ini telah dimaklum dan diperincikan melalui risalah yang diedar oleh pihak sekolah sebelum ini tapi untuk kepastian saya sendiri datang melawat bilik kelas.

“Harapan saya agar pihak sekolah akan terus konsisten dalam amalan SOP ini demi keselamatan dan kesihatan anak-anak,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here