Covid-19 gagal didik kita

0
86

DARIPADA perangai suka membuang sampah keluar dari kenderaan, tidak reti berbaris sehinggalah melanggar arahan kuarantin diri. Segelintir masyarakat kita memang tidak pernah belajar untuk berdisiplin.

Tempoh setengah tahun pematuhan segala SOP Covid-19 yang sepatutnya mendidik kita menjadi individu lebih berhemah nampaknya seperti tidak memberi apa-apa kesan.

Ia mungkin memberi kesan pada sebahagian kita terutama pada anak-anak yang asyik memperingatkan kita tentang adanya kuman, tetapi malangnya sentiasa ada golongan yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab atau perasaan kisah kepada orang lain.

Penjarakan sosial misalnya mengajar kita mengadaptasi budaya berbaris dan menghormati giliran dan ruang peribadi orang lain. Namun apa yang kita lihat sekarang, amalan itu gagal diserap menjadi budaya kita kerana sifat sesetengah manusia yang pentingkan diri dan tidak tahu bersabar.

Begitu juga dengan amalan bersalaman yang kembali menjadi kebiasaan. Walaupun dituntut dalam ajaran agama, risiko jangkitan melalui sentuhan itu patut dihindar sehinggalah kita betul-betul bebas dari wabak.

Tidak lupa juga amalan pemakaian pelitup muka yang semakin dilupakan. Keperluan memakai alat pelindungan itu kini hanya dilihat penting ketika melangkah masuk ke bangunan-bangunan kerajaan, pusat beli belah, bank dan stesen minyak. 

Selain daripada tempat-tempat yang mengenakan syarat wajib pemakaiannya, masyarakat kita mula melupakan keperluannya. Pada masa yang sama, sifat tidak cakna itu sebenarnya menyebabkan ramai di sekeliling kita berasa kurang senang. 

Jelas sekali kita mula lupa pada ketakutan ketika awal-awal Covid-19 menyerang.  Ada yang terkurung di rumah tanpa kebebasan untuk keluar, ada yang terpisah berbulan-bulan dengan ahli keluarga bahkan ada yang mengalami gangguan perasan yang serius. 

Walhal ketakutan pertama kita pada Covid-19 telah memberikan rasa panik dan keinsafan yang diratap dengan doa dan harapan. Sekaligus menyedarkan betapa kerdil kita di atas muka bumi ini tanpa kasih sayang dan belas ehsan sang Pencipta.

Namun di manakah keinsafan itu selepas Covid-19 mula reda? Ada yang mula tercari-cari hiburan yang sudah berbulan-bulan ditinggalkan. Pusat-pusat maksiat juga berlumba-lumba menawarkan promosi.

Keperluan untuk berjimat cermat seperti ketika takutkan bekalan makanan di rumah tidak mungkin bertahan lama atau yang ada di gedung jualan habis diborong orang juga semakin dilupakan.

Jelas sekali selepas graf jangkitan Covid-19 berjaya diratakan, kita seolah-olah kembali kepada cara hidup lama dan tidak lagi peduli pada norma-norma baharu yang patut dikekalkan. 

Sedangkan sebelum ini kita sering mengingatkan diri kita bahawa ‘vaksin’ sebenar pencegahan Covid-19 ini adalah perangai kita sendiri. 

Jika perkembangan ini berterusan, penulis yakin keperitan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu akan menanti kita semula. Bersedialah kita untuk ‘season’ seterusnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here