Covid-19: Hanya tinggal 85 kes aktif

0
45

CYBERJAYA – Episod jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini mencatatkan satu lagi kejayaan apabila bilangan kes kebolehjangkitan hanya tinggal 85 kes setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak tiga kes positif baharu termasuk satu kes import.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes import itu membabitkan seorang warganegara Malaysia manakala kedua-dua kes penularan tempatan dalam kalangan bukan warganegara.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan terdapat sebanyak 622 kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,437 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, terdapat tiga kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,643 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 85 kes dan mereka diasingkan serta diberi rawatan.

Selain itu katanya, jangkitan dalam negara membabitkan masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan iaitu dalam kluster Bukit Bintang dan satu kes di Sabah, membabitkan satu kes saringan kes baharu masuk ke lokap di Kota Kinabalu.

“Setakat ini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada sebarang kes kematian direkodkan sejak 19 hari lalu sehingga kini, ia menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara ini kekal pada jumlah 121 atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here