Covid-19: Lima kes baharu hari ini

0
53

CYBERJAYA- Sebanyak lima kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini, iaitu membabitkan tiga import dan dua penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kes import membabitkan dua warganegara Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

Bagi kes penularan tempatan pula katanya, ia membabitkan rakyat Malaysia, iaitu masing-masing satu kes dikesan ketika saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan di sebuah pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini. Sehingga kini terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Kedua -dua individu terbabit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, dengan pertambahan jumlah kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes Covud-19 di negara ini ialah sebanyak 8,663 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 77 kes. Mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Bagi kes pulih pula, sehingga pukul 12 tengah hari ini, terdapat empat kes yang sudah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,465 kes atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini dan jumlahnya kekal 121 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here