Covid-19: Vaksin eksperimental UK mampu tingkatkan imunisasi

0
20
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Usaha menghasilkan vaksin yang berkesan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 menampakkan sinar apabila vaksin eksperimental yang dihasilkan oleh Universiti Oxford dilaporkan selamat dan berkesan dalam meningkatkan imunisasi dalam kalangan sukarelawan.

Menurut portal The Guardian, keputusan ujian awal tersebut yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada Isnin lalu menunjukkan, peningkatan jumlah antibodi dan sel T pada tubuh badan sukarelawan.

Vaksin ini berbeza daripada vaksin yang sedang dibangunkan oleh firma dan agensi lain kerana ia hanya bertindak meningkatkan sistem imunisasi badan, dan bukannya bereaksi terhadap virus SARS-CoV-2 yang mengakibatkan Covid-19.

Kajian itu melibatkan 1,000 sukarelawan, yang mana separuh daripada mereka diberi vaksin eksperimental itu manakala selebihnya diberi vaksin meningitis sebagai kumpulan kawalan.

“Kami amat gembira kerana hasilnya adalah seperti yang kami jangkakan,” kata Prof. Sarah Gilbert dari Institut Jenner, sebuah pusat kajian perubatan milik Universiti Oxford.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan sebagai berkata, kejayaan ini merupakan “satu keputusan yang amat positif”.

“Tiada jaminan, dan perjalanan kita masih jauh kerana banyak lagi ujian diperlukan. Namun, kita kini berada di landasan yang tepat,” kata Johnson.

Ujian berskala besar-besaran kini sedang dijalankan di Brazil dan Afrika Selatan, dua buah negara yang mempunyai kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here