GP Malaysia dibatalkan

0
23

CYBERJAYA- Penganjuran perlumbaan berprestij Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia yang sepatutnya berlangsung 30 Oktober depan terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam satu kenyataan berkata, Dorna Sports selaku penganjur MotoGP membatalkan GP Malaysia bersama-sama GP Argentina dan Thailand. 

Sebelum ini GP America sudah dibatalkan, untuk rekod Malaysia tidak pernah gagal menganjurkan perlumbaan berpestij itu sejak 1991 dengan SIC menganjurkan GP Malaysia sejak 1999.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengakui kecewa dengan pembatalan GP Malaysia.

“Kami sememangnya kecewa dengan pembatalan ini terutama mahu menyaksikan aksi pelumba tempatan seperti Kasma Daniel, Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin dan pasukan Petronas Sepang Racing Team yang bermula baik musim ini.

“Namun dengan perkembangan semasa Covid-19, keselamatan semua pihak menjadi keutamaan. Kami tidak mahu mempertaruhkan kesihatan setiap individu yang terbabit.

“Saya pasti ia menjadi berita sedih untuk peminat MotoGP di Malaysia dan juga seluruh dunia yang sentiasa memberi sokongan kepada penganjuran GP Malaysia.

“Kami dapat saksikan peningkatan jumlah kehadiran penonton di GP Malaysia dari tahun ke tahun dan kami berterima kasih kepada semua peminat dan rakan penaja yang sentiasa memberikan sokongan.

“Perkara paling terbaik untuk dilakukan ketika ini adalah terus memberi sokongan kepada pelumba dan pasukan negara yang beraksi di kejohanan itu. Kami berharap dapat menganjurkannya dengan lebih baik pada 2021.” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here