Guru rayu mahu balik raya haji

0
154

APA Khabar Orang Kita…hari ini kita berbicara mengenai rintihan para guru ekoran pindaan takwim persekolahan selepas pembukaan semula sekolah bermula 15 Julai ini.

Rata-rata warga pendidik ketika Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan perubahan takwim persekolah pada 23 Jun lalu mengeluh panjang kerana cuti mereka dikurangkan.

Walhal, mengikut apa yang difahamkan, para guru telah melaksanakan kelas dalam talian sepanjang cuti persekolahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebenarnya bila berbicara mengenai cuti para guru ini, ramai yang ‘panas’ kerana mereka ada hujah sendiri kerana bagi mereka guru sentiasa mendapat cuti panjang setiap tahun.

Kita hormati pendapat mereka namun, kali ini lain kerana cuti guru tidak sepatutnya dikurangkan kerana mereka juga terkesan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Jika difikirkan mereka juga sebelum ini tidak pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan perubahan takwin baharu menyaksikan mungkin Hari Raya Aidiladha pun tidak akan disambut.

Alasan utama kementerian membuat pindaan Takwim Penggal Persekolahan 2020 adalah untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan proses pembelajaran dan pengajaran (PnP).

Pindaan itu membabitkan cuti pertengahan penggal kedua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari selain cuti akhir tahun dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari.

Pindaan itu ternyata menimbulkan rungutan guru terutamanya yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak selain Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Terbaharu NUTP memohon kementerian menimbang semula cuti bersempena Hari Raya Aidiladha bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambutnya di kampung.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, ini kerana perayaan itu jatuh pada minggu persekolahan berikutan perubahan Takwim Persekolahan 2020.

NUTP mencadangkan agar diberi peruntukan cuti khas oleh Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin pada 30 Julai dan cuti pelepasan oleh Pejabat Pendaftar Negeri pada 29 Julai dan 3 Ogos ini.

Menurut Huat Hock perkara itu akan memberi peluang orang ramai menyambutnya bersama sanak-saudara di kampung halaman.

“Orang ramai juga sebelum ini tidak berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan mereka sudah merancang untuk pulang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh semasa cuti penggal persekolahan berdasarkan takwim penggal persekolahan sebelum ini.

“Selain itu, perayaan hari raya bukan sahaja disambut oleh kaum Melayu malah turut diraikan oleh semua kaum di Malaysia,” katanya.

Jika difikirkan ada benarnya bukan? namun, ia terpulang kepada pendapat masing-masing, mulai 15 Julai ini sesi persekolahan akan dibuka sepenuhnya dan diharapkan segalanya berjalan lancar dan tiada masalah berbangkit.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here