Jadikan yang baik sebagai tauladan, yang sebaliknya sebagai sempadan

0
73
Gambar hiasan

SATU dua hari ini pelbagai kisah ‘menggemparkan’ dan ‘mengejutkan’ berlaku dalam negara.

Daripada kisah krisis rumah tangga YouTuber terkenal sehinggalah keputusan mahkamah yang diputuskan melibatkan seorang bekas pemimpin utama negara telah menarik minat orang ramai untuk menunggu depan telefon bagi mendapatkan maklumat terkini tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan berita berkenaan.

Di pihak warga maya, pelbagai respon diberikan. Ada yang menyokong, ada yang membangkang dan ada juga yang tolong jadi batu api dengan mengaitkan kisah orang lain untuk dikaitkan dengan individu terlibat. Tak kurang juga yang gembira apabila mendengar musibah yang berlaku kepada si polan si polan ini.

Setiap kisah yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran. Sesiapa sahaja boleh ‘terjebak’ jika gagal mengawal diri.

Malah, ramai yang ingat dugaan hanya ditanggung ketika waktu susah sedangkan ketika waktu senang kita akan diuji dengan lebih hebat.

Pangkat, harta, wanita antara perkara yang selalu menyebabkan seseorang itu tergelincir daripada landasan. Jika ada yang sempat ditarik keluar, Alhamdulillah. Jika tidak, nauzubillah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185).

Tidak salah untuk mengumpul harta kekayaan tetapi biarlah dengan rezeki halal dan dalam ruang lingkup dibenarkan.

Jika kita tersalah langkah, mohonlah ampun dan bertaubat kepada Allah. Pintu taubat Allah SWT terbentang luas namun, perlu diingat peluang ini juga ada pengakhirannya.

Pintu taubat akan tertutup jika ajal sudah menghampirinya atau apabila tibanya hari kiamat. Waktu itu menyesal pun tiada guna lagi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here