Jual durian ke jual emas?

2
2243

HARGA durian yang terlalu mahal bukan lagi perkara baharu dalam masyarakat negara ini bahkan peningkatan harganya berlaku agak ‘kasar’ saban tahun. Adakah masih ada jalan penyelesaian kepada isu ini?

Di Kuala Lumpur dan Selangor, harga durian melambung tinggi sehingga baru-baru ini dijadikan bahan jenaka yang memberi amaran kepada kita supaya tidak keluar membeli durian selagi tidak menjelaskan bil TNB.

Walaupun sindiran sebenarnya adalah kepada syarikat pembekalan elektrik negara, tetapi ada benarnya kisah durian dalam ‘meme’ tersebut.

Penulis sendiri sukakan durian. Kadang-kadang ketika memandu, kelibat raja buah yang tersusun cantik di tepi jalan membuatkan kita teringin tetapi sebaik sahaja disebut harganya, rasa menyesal pula kerana sudah berhenti.

Ada kalanya, rasa teringin untuk menjamah durian hilang begitu sahaja apabila tertipu dengan helah peniaga yang memaparkan harga murah pada buah yang kemudian dikatakan sudah habis terjual. Yang tinggal hanya Musang King!

Isu durian mahal beberapa tahun lalu pernah membuatkan penulis ‘terhibur’ apabila seorang mak cik ‘merayu’ kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak ketika bersiaran di televisyen supaya dapat dibeli semua orang.

Dalam gesaannya, dia mengharap kerajaan dapat menurunkan harga durian kerana tidak mahu kempunan kerana tapi tidak mampu dibeli.

“Mahal seperti emas,” katanya.

Persoalannya wajarkah harga durian tempatan perlu semahal sekarang?

Pernah semasa penulis membuat liputan majlis Kementerian Pertanian beberapa tahun dahulu, timbalan menteri sendiri membuat kenyataan menyokong kenaikan harga durian kerana dikatakan baik untuk ekonomi negara kerana dapat dijual mahal di luar negara.

Memang bunyi macam ada sedikit rasionalnya bagi kami golongan marhaen, tapi takkan sampai habis semua durian kita mahu dihantar ke China. Yang kelas-kelas rendah bukan Musang King tinggallah kat sini.

Orang China pun satu hal, dah la rakyat ramai, semuanya hantu durian. Siap diperkenalkan pakej lawatan ke kebun bagi yang datang ke Malaysia. Tak pasal-pasal pemilik kebun Musang King sekarang semakin kurang berminat untuk menjual durian kepada peraih tempatan.

Itu belum mengambil kira kesanggupan usahawan China yang datang ‘memborong’ semua durian kita pada harga tiga hingga empat kali ganda lebih mahal daripada yang dijual di pasaran eksport.

Tapi itu cerita dulu, sekarang orang China sudah pun memiliki kebun-kebun durian di negara ini melalui perkongsian rakan niaga.

Penulis bukan tidak mahu memahami ‘pelaburan’ yang diperlukan dalam teknologi pertanian untuk mendapatkan buah durian dengan isi terbaik. Tetapi alasan kononnya untuk memajukan pertanian durian tempatan, ia perlu dijual mahal sememangnya tidak relevan.

Bagi yang berpoket tebal, penghakiman mereka mungkin; “Kalau tak ada duit tak payah la makan! Sedangkan pada awal musim baru-baru ini, durian IOI dan durian Kampung di Muar, Johor dijual RM6 dan di Batu Kurau, Perak, RM8 sekilogram.

Sampai sahaja di Kuala Lumpur, harga melambung sehingga RM30 sekilogram. Itu belum kira harga sekilogram durian seperti Musang King, Black Thorn dan Udang Merah yang mencecah RM80 hingga lebih seratus.

Kalau tujuh, lapan tahun lalu, harga Musang King tak sampai pun RM50 sekilo. Kita faham harga barang semua naik, tapi takkan semahal itu.

Sedangkan semasa membuat liputan mengenai pekebun durian di Broga, Selangor baru-baru ini, saya diberitahu harga jualan di kebun (peringkat pertama) dan di tepi jalan (peringkat kedua) tidaklah semahal yang dijual di tengah bandar.

Di Tanjong Karang baru-baru ini juga, seorang kontraktor masih boleh menjual durian pada harga RM5 sekilogram dengan niat membolehkan orang ramai menikmati raja buah itu pada harga berpatutan.

“Memang melampau diorang main harga durian! Kau tengok cara mereka beli, tidak main guni-guni dah, pakai lori sekarang. Itu peraih lapisan kedua, belum lagi sampai ke KL, mahu tak mahal.

“Lepas itu pula, yang elok yang tak elok semuanya bercampur, mana diaorang peduli nasib pembeli. Tak habis hari ini, tiga hari lagi boleh dijual lagi,” kata seorang peraih warga emas selepas hampir setengah jam berborak dengan penulis.

Dia yang memperkenalkan diri sebagai abang Man dan berniaga di Bandar Tun Hussein itu berkata, ramai peniaga yang tamak dalam perniagaan durian kerana mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Pak Cik sudah lebih 20 tahun berniaga, masih tak berani borong guna lori sebab nak jaga kualiti buah.

“Biasanya kita boleh anggar keuntungan selepas duit modal sudah ‘cover’. Selebihnya jual murah-murah sahaja,” katanya.

Penulis bising pasal durian bukan sebab tak mampu beli, tapi kalau murah bolehlah makan lebih kerap. (”,).

2 COMMENTS

  1. Senang je nk bagi harga durian turun… Semua orang Pakat² jangan beli dulu tunggu 2-3 pasti turun harga… Kerana durian buah yang tidak tahan lama… 3-4 hari selepas gugur jika tak terjual pasti akan pecah…

  2. Mulai tahun depan harap harap kerajaan paksa semua peniaga peniaga durian jual “ulas” durian, bukan jual dengan kulit kulit durian.
    Contoh pelanggan nak beli durian musang king ke,
    Durian King Kong ke, Durian Duri Hitam ke, Durian Duri Putih ke, Durian O4 ke, Durian O8 ke, Durian 3line ke, durian tak de nombor ke, pelanggan pilih mana mana durian yg dia hendak , dan tertulis sekilo berapa ,timbang, bayar harga isi durian..!!!
    BUKAN BAYAR TERMASUK KULIT DURIAN…!!!
    LAIN LAH KULIT DURIAN TU BOLEH MAKAN…!!!!
    BAIK MENTERI ,BAIK SESIAPA SAJA YG BERKAITAN TOLONG PERTIMBANGKAN IDEA NI,
    LEBIH ADIL UNTUK PEMBELI DAN PENIAGA.
    Cerita saya semasa anak anak masih kecil lagi kononnya beli durian 3biji kat mana ntah tak ingat, bawak balik dgn bangga nya balik panggil anak² ,masa tu umur dia orang sekitar 7 tahun sorang, 12 tahun sorang, haraplah durian, saya pun kopek..,
    Allah malunya saya bercampur marah,geram,sakit hati sampai tak tahu lah nak cakap, nasib baik lah ada 2,3 ulas yg elok ,tak de lah kempunan anak anak.
    Sejak tu hampir sepuluh tahun jugak lah bila musim durian saya benci tengok peniaga peniaga durian ni, rasa macam tengok penipu penipu je…
    aduuuuss..sedih nya terasa bila teringat kisah tu..
    Tapi anak anak dah besar sekarang dia nak makan beli lah sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here