Lelaki Bangladesh dihukum gantung bunuh rakan serumah

0
71

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh rakan serumah dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati Mohammad Jobi Ullah, 40, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes. 

Semasa di dalam kandang tertuduh, Mohamad Jobi kelihatan gelisah dan kerap kali bertanyakan maksud yang dituturkan oleh hakim kepada jurubahasa mahkamah yang berada di sebelahnya. 

Bernama melaporkan sebaik mendapat tahu keputusan, tertuduh kelihatan sangat kecewa dan hanya menundukkan kepalanya.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Jobi yang juga seorang buruh itu didakwa membunuh rakan senegaranya Minto, 40, di Jalan Megat Harun, Taman Jasa, Bukit Mertajam pada pukul 11.15 pagi, 25 Mac 2018 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi pendakwaan telah dipanggil dan hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala tertuduh diwakili peguam K. Thanges.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here