Malakat Mall Masjid Tanah dijangka dibuka 1 Disember ini

0
222
Bangunan Malakat Mall di Cyberjaya

RAUDHAH CITY – Cawangan baharu pusat beli belah BMF, Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka dijangka memulakan operasi pertamanya pada 1 Disember tahun ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya mempunyai masa kira-kira empat bulan sahaja untuk mengubahsuai bangunan dua tingkat milik Majlis Amanah Rakyat (Mara)
itu menjadi seperti Malakat Mall di Cyberjaya di sini.

“Namun begitu, yang lebih penting ialah kita mahu penduduk di Masjid Tanah bersama-sama kita.

“Malakat Mall tidak boleh berdiri sendiri tanpa sokongan penduduk setempat. Oleh itu, sebelum Malakat Mall ini dibuka saya menyeru supaya menyertai Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM),” katanya.

Coach Fadzil (lima dari kiri) dan Khairul Aziz (enam dari kiri) menunjukkan dokumen pernjanjian sewa premis bangunan

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian penyewaan premis Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka antara Malakat Mall dengan MARA Inc Sdn. Bhd. hari ini.

Perjanjian penyewaan premis itu ditandatangani oleh Coach Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc Sdn. Bhd., Khairul Aziz Ismail.

Dalam pada itu, Coach Fadzil berkata, pihaknya juga berharap supaya penduduk sekitar dan usahawan di negeri tersebut dapat merebut peluang untuk menjadi sebahagian daripada pejuang Malakat Mall.

Beliau berkata, ini kerana penubuhan Malakat Mall itu sendiri ialah bagi memberi peluang dan ruang kepada semua umat Islam untuk berniaga di dalam pusat beli belah.

“Malah, kita juga mahu pekerja yang bekerja dalam pusat beli belah itu ialah orang Melaka sendiri.

“Pada masa sama, kita juga mahu melatih mereka menjadi usahawan tanpa mengira sama ada mereka ini pekerja pembersihan atau pun pengawal keselamatan.

“Bagaimanapun, syaratnya mereka perlu menjadi ahli KoPPIM dan apabila menjadi ahli koperasi mereka juga akan berbelanja di pusat beli belah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, pada 25 Julai ini, pihaknya akan mengadakan program Ayuh Bangkit khusus kepada penduduk dan usahawan di Masjid Tanah.

Sehubungan itu, beliau mengajak penduduk sekitar tidak melepaskan peluang itu kerana tempat duduk disediakan terhad kepada 250 orang sahaja.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here