Pakar patologi termasuk 6 dihukum mati kerana membunuh Kevin Morais

0
203

KUALA LUMPUR – Selepas hampir lima tahun kematian tragis Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan di dalam dram berisi konkrit, enam lelaki dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya itu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandaran, 49; serta empat penganggur R. Dinishwaran, 28; A.K. Thinesh Kumar, 27; M. Vishwanath, 30 dan S. Nimalan, 27 selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Morais, 55.

Mereka dituduh membunuh Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Azman mendapati keenam-enam tertuduh mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.

Memetik laporan Bernama, Azman berkata mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah ke atas pertuduhan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama  atas niat bersama tertuduh pertama (Kunaseegaran) dengan tertuduh lain.

“Pembelaan tertuduh-tertuduh juga gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

“Dengan ini, keenam-enam tertuduh atas niat bersama didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Keenam-enam tertuduh dijatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati,” katanya.

Adik bongsu Morais, Datuk Richard Morais yang turut hadir di galeri awam kelihatan lega selepas hakim menjatuhkan hukuman.

“Saya telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan keadilan bagi abang saya,” katanya kepada pemberita, dan menambah pihak pendakwaan telah melakukan tugas mereka dengan baik.

“Selepas menunggu begitu lama, sekarang saya rasa lega kerana kesemua tertuduh akan dihukum gantung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here