Penangguhan haji demi kepentingan bersama umat Islam

0
44

KUALA LUMPUR – Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata, keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini demi kepentingan bersama antara umat Islam bagi mengekang virus Covid-19.

Qattan berkata beliau mengikuti reaksi rakyat (umat Islam) Malaysia di pelbagai platform berhubung keputusan penangguhan itu.

“Saya mendapati rakyat Malaysia memahami dan menerima keputusan kerajaan Malaysia mengenai perkara ini. Ibadat haji merupakan perkara yang besar dan penting di sisi rakyat (umat Islam) Malaysia dan mereka sangat realistik serta sedar kepentingan umat Islam di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 11 Jun lalu Malaysia mengumumkan untuk menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Pada 23 Jun lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk mengehadkan jemaah haji pada tahun ini hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Menurut kementerian tersebut, hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Sehubungan itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  pada 24 Jun lepas berkata Malaysia menyambut baik pendirian Arab Saudi yang sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ibadah haji bagi tahun ini diteruskan.

Namun ia terhad kepada rakyat negara itu serta rakyat negara Islam yang sudah berada di sana.bbb

“Pendirian Arab Saudi dalam perkara itu bukan sahaja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramain al-Sharifain Raja Salman Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia, bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum, malah bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa),” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Qattan berkata pendirian Malaysia menyambut baik pengumuman negaranya untuk meneruskan ibadah haji bagi tahun ini, mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Mari sama-sama kita berdoa supaya wabak ini berakhir secepat mungkin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here