Percubaan PATI bolos masuk negara gagal

0
218
Sebahagian PATI yang berjaya ditahan

CYBERJAYA – Sebanyak 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Ops Benteng di Kota Tinggi, Johor, awal pagi ini.

Menurut TDM dalam satu kenyataan, dalam kejadian pertama yang berlaku sekitar pukul 1 pagi sebanyak tiga orang PATI iaitu dua lelaki dan seorang warga Indonesia dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar,

Katanya, mereka ditahan ketika sedang menunggu bot untuk membawa mereka pulang ke Indonesia.

“Pasukan bertindak atas maklumat daripada anggota bertugas di menara tinjau Ladang Sungai Tengah yang mengesan kehadiran bot asing yang mencurigakan.

“Kumpulan sub unit dari Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) diketuai oleh Kapten Mohd. Amirul Naim Mohammad Zubir telah diatur gerak membuat rondaan keselamatan telah berjaya menahan sebuah bot pancung,” katanya hari ini.

Katanya, kesemua PATI itu cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sekitar Ladang Sungai Tengah namun berjaya ditangkap.

“Keseluruhan nilai rampasan tangkapan pertama dianggarkan bernilai RM36,000 yang melibatkan bot pancung berserta enjin, tujuh buah telefon bimbit serta wang tunai RM1,550 dan 21.1 juta rupiah (RM6,236).

Dalam pada itu, katanya, bagi tangkapan kedua pula ia dibuat sekitar pukul 2 pagi.

“Pasukan bertindak hasil maklumat daripada anggota yang bertugas di menara tinjau yang telah mengesan kehadiran sebuah bot yang mencurigakan menghampiri kawasan Ladang Brunai, Bandar Penawar.

“Satu kumpulan dari 61 RAD diketuai oleh Kapten Mohd. Farid Izaini dari Pos Tuan Sheh telah digerakkan membuat rondaan keselamatan di sekitar kawasan Ladang Brunai.

“Hasil tindakan pantas sub unit pasukan 61 RAD ini telah membawa kepada tangkapan 13 PATI terdiri daripada enam lelaki dewasa dan tujuh perempuan dewasa warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dipercayai baru tiba di negara ini,” ujarnya.

Katanya, nilai rampasan tangkapan kedua dianggarkan bernilai RM8,000 yang melibatkan enam buah telefon bimbit, tiga utas rantai emas, tiga bentuk cincin emas serta wang tunai RM1,170 dan 1.7 juta rupiah (RM544).

“Nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM43,874 dan 22.8 juta rupiah.

“Kesemua PATI diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan Covid-19.

“Usaha menjejaki sebarang aktiviti mencurigakan di persempadanan negara diteruskan dengan bantuan Tim Dron daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bagi memantau sebarang kemasukan PATI,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here