Suami Pavithra mengaku tidak bersalah

0
78

Youtuber Masakan, S.Pavithra,28, (kiri) bersama suaminya M.Sugu. Gambar: Bernama.

IPOH – Suami Youtuber sensasi, M Sugu yang didakwa mencederakan isteri, S Pavithra mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di depan Hakim, Mohd Fauzi Mohd nasir.

Lelaki berusia 29 tahun itu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dengan pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isteri dalam satu kejadian di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Selasa lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan pada bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan kepada Pavithra, 28, dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail yang menawarkan jaminan RM10,000 namun, tertuduh diwakili peguam, Mahinderjit Singh memohon jaminan dikurangkan RM3,000.

Mahkamah kemudian membenarkan Sugu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes 17 Ogos depan.

Terdahulu di mahkamah sama, suami Pavithra mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya berupa sebilah sabit yang dibawa di tempat awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here