Terima kasih kerana U-turn semula

0
101
Gambar yang tular menunjukkan seorang PUS tidak berada di rumah untuk menjalani kuarantin wajib

LEGA. Itu perkataan terpancul daripada Mamu apabila kerajaan memutuskan supaya semua rakyat Malaysia atau warga asing yang tiba ke Malaysia dikuarantin wajib di stesen kuarantin.

Beberapa keping gambar yang tular semalam menunjukkan pesakit di bawah pengawasan (PUS) keluar makan di tempat awam betul-betul telah membangkitkan kemarahan orang ramai.

Seperti yang dijangkakan ramai pihak, proses kuarantin di stesen kuarantin digantikan dengan kuarantin di rumah pada awal bulan lalu bakal ‘ke laut’ benar-benar berlaku.

Malah, Mamu sendiri agak skeptikal apabila kerajaan membenarkan mereka yang balik dari luar negara hanya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Manakan tidak, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun ramai yang berani ingkar biarpun mereka perlu berhadapan dengan polis dan tentera, inikan pula hanya arahan supaya mereka menjaga disiplin dan tidak keluar ke rumah.

Sudah pasti apabila tiada yang mengawal, PUS ini akan berani melanggar arahan.

Mujur kerajaan tidak terlampau mengambil masa yang lama untuk ‘u-turn’ semula. Jika tidak perkara ini pasti akan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Gelang tangan milik PUS yang dipotong di KLIA yang tular di media sosial

Lihat sahaja ketika Perdana Menteri muncul di kaca televisyen semalam dan mengumumkan bahawa kerajaan ‘mungkin’ akan melaksanakan semula kuarantin di stesen telah menyebabkan ramai warga maya tidak setuju. Ramai yang mempersoalkan kenapa tidak terus kuatkuasakan arahan dan kenapa perlu tunggu lagi.

Kebimbangan orang ramai perlu diambil perhatian oleh kerajaan memandangkan kes positif Covid-19 setiap hari semakin meningkat dan muncul banyak kluster baharu.

Malah, esok juga sudah bermula sesi persekolahan bagi murid sekolah rendah. Jika angka positif Covid-19 terus meningkat pasti akan menyebabkan ibu bapa tidak senang duduk.

Lebih membimbangkan jika berlaku gelombang baharu Covid-19 yang akhirnya semua terpaksa menjalani PKP semula.

Pasti ramai yang tidak mahu menjalani episod umpama ‘berkabung’ ini yang memakan masa berbulan-bulan. Jadi marilah kita bersama-sama mematuhi arahan di keluarkan kerajaan supaya wabak penyakit akan lenyap selama-lamanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here