29 murid SJKC cedera dalam kejadian ribut di Melaka

0
124
Keadaan sebuah bilik darjah di SJKC Malim yang rosak teruk dalam kejadan ribut hari ini

MELAKA – Seramai 29 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di sini mengalami kecederaan selepas bumbung sekolah tersebut tercabut dalam satu kejadian ribut yang melanda beberapa tempat di daerah Melaka Tengah, pagi tadi.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali, dalam kejadian pukul 10 pagi itu tadi, terdapat enam murid terpaksa dibawa ke Hospital Melaka selepas terkena bumbung.

“Dalam lawatan mengejut di SJKC Malim, saya sudah mengarahkan Pegawai Daerah Melaka Tengah, Jabatan Kerja Raya Melaka Tengah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera termasuk memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas,” katanya dalam laman satu kenyataan hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Kejadian ribut kencang yang melanda beberapa kawasan di Melaka itu telah menyebabkan beberapa struktur dan kenderaan mengalami kerosakan teruk.

Dalam beberapa video yang tular sejak pagi tadi, kelihatan beberapa kenderaan termasuk lori mengalami kerosakan selepas dihempap pokok besar.

Menurut Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, sebanyak 11 kawasan terlibat dalam bencana tersebut pagi tadi.

“Kawasan terlibat ialah Batu Berendam Putra, Klinik Kesihatan Batu Berendam, Medan Selera Taman Melaka Baru dan Taman Bachang Baru.

“Selain itu, turut terlibat ialah Medan Selera Taman Jati, Taman Malim Permai, Caltex Taman Merdeka, Taman Bukit Melaka Bukit Beruang dan Taman Ara Permai Batu Berendam,” katanya.

Tambah kenyataan itu, turut terlibat ialah jalan utama di hadapan Bachang Baru sehingga ke Batu Berendam dan Taman IKS yang terletak bersebelahan pasar borong.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here